Anda di sini

Gempa bumi di Ranau terkuat sejak 1976

Advertisement

KUALA LUMPUR: Gempa bumi sederhana berukuran 5.9 pada skala Richter yang berpusat di Ranau, Sabah semalam, adalah yang paling kuat pernah berlaku di Malaysia, dalam tempoh 39 tahun sejak 1976.

Gegaran sederhana itu mengatasi rekod gempa bumi terkuat yang berlaku pada 1976, berukuran 5.8 pada skala Richter di Lahad Datu, sehingga mengakibatkan banyak kerosakan harta benda dan bangunan retak.

Bagi tempoh berkenaan, terdapat 16 kejadian gempa bumi direkodkan di Sabah.

Empat daripada kejadian gempa itu berlaku di Ranau iaitu pada 1989 dengan gegaran berukuran 5.6; 1991 (berukuran 5.1); Mac 2005 (berukuran 4.1) dan pada Februari 2010 bermagnitud 2.6 pada skala Richter.

Bakinya, dua kejadian gempa bumi berlaku di Lahad Datu pada 1976 berukuran 5.8 dan Mei 2011 (berukuran 3.3 skala Richter); Tawau (pada November 2005 berukuran 5.8); Sandakan (Jun 2011 berukuran 4.0); Kunak (Mei 2012 berukuran 3.7); Kudat pada Julai 2013 berukuran 3.6 dan Oktober 2014 berukuran 4.4 skala Richter.

Kali terakhir gempa bumi berlaku adalah di Sandakan pada Februari tahun ini berukuran 5.6 skala Richter.

Walaupun Sabah terletak di luar Lingkaran Api Pasifik, kajian Pusat Penyelidikan dan Inovasi Universiti Malaysia Sabah mendapati kawasan di Kundasang, Ranau, Pitas, Lahad Datu, Kunak dan Tawau berisiko dengan kejadian gempa bumi.

Pengarah pusat berkenaan, Prof Dr Felix Tongkul, yang juga Felo Akademik Sains Malaysia, dalam satu laporan media dipetik sebagai berkata bahawa kedudukan Malaysia yang berjiran dengan negara di zon lingkaran gempa bumi menyebabkan negara ini turut tidak terkecuali daripada terpalit sama merasai gegaran gempa bumi.

Gegaran akibat gempa bumi di Ranau pada jam 7.15 pagi semalam turut dirasai di beberapa tempat di pantai barat Sabah termasuk Tambunan, Pedalaman, Tuaran, Kota Kinabalu dan Kota Belud.

Berikutan gempa bumi itu beberapa kerosakan dilaporkan berlaku termasuk keretakan jalan raya yang menghubungkan Ranau-Kundasang.

Setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kecuali tiga cedera ringan. — Bernama

 

Advertisement