Anda di sini

Curi wang hotel, penjual kereta dipenjara enam bulan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Gara-gara mencuri wang berjumlah RM613 milik sebuah hotel, seorang penjual kereta dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret semalam.

Majistret Saifulakmal Said menjatuhkan hukuman itu ke atas Hamdan Hassan, 43, selepas dia mengaku bersalah mencuri wang milik Hotel Cosmic di Jalan Putra, Dang Wangi di sini pada jam 9 pagi, 22 April lepas.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu 2 Jun lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda dan bagi kesalahan kedua atau yang kemudian boleh diseksa dengan penjara atau denda atau sebat.

Mengikut fakta kes, pengadu yang merupakan penjaga kaunter di hotel berkenaan menyedari wang yang disimpan di dalam peti besi di kaunter hilang lalu memaklumkan perkara itu kepada pemilik hotel.

Tertuduh tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa.

Sementara itu, Saifulakmal menjatuhkan hukuman penjawa tiga bulan ke atas seorang peniaga sup di pasar malam kerana cuba mencuri lima gelung kabel PVC di dalam lori milik Wing Hup Elektrik Sdn Bhd, tiga hari lalu.

Nik Mohd Rahimey Nik Bah@Nik Saufi, 28, mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di depan kedai berkenaan di Jalan Loke Yew, Dang Wangi pada jam 12 tengah hari, 3 Jun lepas mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, seorang pekerja kedai elektrik itu ternampak tertuduh masuk ke bahagian belakang lori itu dan memasukkan lengan ke dalam gelung wayar sebelum cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan orang ramai.

Tertuduh tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dikendalikan Noor Jazilah.

Dalam pada itu, seorang penarik kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan dan mendatangkan kecederaan terhadap seorang eksekutif jualan, bulan lepas.

Gan Soon Kong, 41, bersama-sama tiga lagi yang masih bebas didakwa melakukan rompakan dan dalam masa sama mencederakan Wong Chan Chung, 27, serta merampas wang tunai RM3,000; dua telefon bimbit dan sebuah kereta Perodua Myvi, kesemuanya milik mangsa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tepi Jalan Changkat Perak, Dang Wangi pada 2.30 pagi, 28 Mei lepas dan didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Hakim Norsharidah Awang membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Julai untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Hafizah Kamaludin manakala tertuduh tidak diwakili peguam. — Bernama

 

 

 

 

Advertisement