Anda di sini

Tiada lagi kompromi kepada peniaga dalam talian: Hasan

Advertisement

Mereka yang tidak daftar dengan SSM dikenakan tindakan

KUALA LUMPUR: Tiada lagi kompromi dan tindakan bakal dikenakan terhadap peniaga dalam talian yang tidak mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hasan Malek.

 

Beliau berkata jika pihaknya menerima aduan, siasatan akan dijalankan seterusnya peniaga yang didapati bersalah bakal berdepan hukuman.

“Mereka boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program SSM Online Networking Entrepreneurs 2015 (SSM-ONE2015) di sini, semalam.

Menurutnya, peniaga dalam talian wajib mendaftar perniagaan mereka bertujuan melindungi pembeli daripada sebarang penipuan selain meningkatkan kepercayaan pengguna terhadap transaksi jual beli.

“Kalau peniaga dalam talian tiada apa-apa nombor rujukan atau pendaftaran syarikat, jadi kalau apa-apa berlaku, susah bagi kita nak ambil tindakan sebab itu peraturan ini dibuat,” katanya.

Pada masa sama, Hasan turut menasihatkan penjawat awam yang melakukan perniagaan dalam talian untuk melakukan aktiviti itu selepas waktu pejabat atau hari cuti.

“Kita memang galakkan buat pendapatan tambahan kepada penjawat awam. Ini sebahagian kerja sambilan yang boleh kita buat kerana mudah dan menguntungkan tapi biarlah di luar waktu pejabat,” katanya.

Bagi tempoh lima bulan (Jan-Mei 2015) sebanyak 1,212 peniaga dalam talian telah mendaftar dan dijangkakan peningkatan pendaftaran 100 peratus pada tahun ini.

Pada majlis sama turut diadakan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Pembangunan Wanita dengan SSM.

MoU bertujuan menjalinkan kerjasama dalam urusan pendaftaran perniagaan oleh usahawan wanita yang menjalankan perniagaan menerusi Internet. — Bernama

Advertisement