Anda di sini

Lelaki disyaki dibunuh ditemui dengan kesan terbakar dan lapan tikaman

Advertisement

TAWAU: Mayat seorang lelaki yang disyaki dibunuh ditemui dengan kesan terbakar dan lapan tikaman di sebuah ladang kelapa sawit, di Kampung Cina Kau Sing, Batu 8 Jalan Apas kira-kira jam 4 petang, Selasa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau Supt Keong Ho Eng berkata, identiti lelaki itu belum dikenal pasti namun, polis percaya lelaki itu kemungkinan berusia lingkungan 20-an.

“Siasatan polis percaya mangsa yang 80 peratus terbakar di anggota tubuhnya dengan kesan tikaman sudah meninggal dunia kira-kira empat jam sebelum ditemui,” katanya.

Keong berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Pemangku Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (KBSJ) IPD Tawau, di sini, kelmarin.

Penjawat terdahulu ASP Ridzuan Khalid yang digantikan oleh ASP Yampil Garai akan berpindah dan melapor diri pada 15 Jun kelak sebagai KBSJ IPD Nusajaya Johor.

Mengulas lanjut mengenai kes terbabit, Keong berkata mangsa disyaki ditikam dengan senjata tajam sedalam kira-kira satu inci di dada, belakang badan, rusuk dan pinggang.

Hasil siasatan dijalankan, beliau berkata polis turut menemui kesan pergelutan dan satu botol berbau bahan bakar kira-kira 40 meter dari lokasi mangsa ditemui.

“Terdapat juga kesan tompokan darah dan selipar di lokasi kejadian yang dipercayai milik mangsa, namun tidak ada senjata tajam ditemui di kawasan sekitarnya,” katanya.

Menurutnya, penemuan mayat mangsa dilaporkan oleh orang awam dan polis mendapati lokasi mayat itu ditemui terletak kira-kira 10km dari IPD Tawau.

Keong berkata, mangsa ditemui dalam keadaan berbaring, memakai baju hitam, seluar jeans biru gelap dengan tali pinggang dan rambutnya didapati terbakar.

“Unit forensik akan menjalankan siasatan di lokasi lelaki itu ditemui dan mayat mangsa juga sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Tawau untuk bedah siasat,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes terbabit diminta tampil membantu siasatan kes yang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Advertisement