Anda di sini

Kementerian Kesihatan jalin kerjasama dengan WHO pantau MERS-CoV di Korea Selatan

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan akan bekerjasama rapat dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi memantau penularan Sindrom Pernafasan Virus Korona Timur Tengah (MERS-CoV) di Korea Selatan ketika ini dan seterusnya memastikan langkah pencegahan serta kawalan sewajarnya dilaksanakan.

Kenyataan kementerian itu menyebut sehingga kini, WHO tidak mengeluarkan larangan perjalanan ke Korea Selatan, namun menasihati semua pelawat ke negara itu agar berhati-hati.

“Semua pelawat, jemaah umrah dan bakal jemaah haji yang akan melakukan perjalanan ke negara-negara yang dijangkiti MERS-CoV di Timur Tengah dan negara-negara lain dinasihati agar sentiasa menjaga kesihatan dan mengamalkan kebersihan diri.

“Mereka juga dinasihatkan tidak melakukan lawatan ke ladang-ladang haiwan terutama ladang unta semasa berada di negara-negara yang terjejas dengan MERS-CoV,” demikian menurut kenyataan Kementerian Kesihatan di sini semalam.

Menurut laporan media tempatan di Seoul, sejak kes MERS-CoV dikesan pada 2 Jun lalu sehingga kini, 25 kes disahkan positif dengan dua kematian, manakala jumlah penduduk yang dikuarantin mencecah 1,600.

Berdasarkan laporan WHO, penularan MERS-CoV di Korea Selatan berpunca daripada kegagalan memastikan prinsip pencegahan dan kawalan jangkitan dilaksanakan secara berkesan di semua peringkat penjagaan perubatan serta kesihatan, menurut kenyataan itu.

Susulan itu, pihak kementerian telah mengambil pelbagai langkah kesiapsiagaan dan respons bagi menghadapi kemungkinan penularan MERS-CoV di Malaysia termasuk saringan kesihatan di pintu masuk antarabangsa.

Sebarang kes yang disyaki atau Patient Under Investigation (PUI) MERS-CoV sama ada semasa saringan di pintu masuk antarabangsa negara, hospital atau klinik akan dirujuk ke hospital yang dikenal pasti.

Bagi tempoh November 2013 hingga akhir bulan lalu, pihak kementerian telah menerima hampir 800 notifikasi berkaitan wabak itu dan kebanyakannya membabitkan jemaah haji serta umrah.

Bagaimanapun, ujian makmal yang dijalankan mengesahkan semua kes bebas jangkitan MERS-CoV kecuali satu yang didapati positif pada April 2014, menurut kenyataan itu. — Bernama

Advertisement