Anda di sini

CIDB mahu pemantauan kualiti dan keselamatan industri pembinaan ditingkatkan

Advertisement

KOTA KINABALU: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bersedia melaksanakan Akta 520 Pindaan (2011) bagi separuh kedua pada tahun ini.

Ahli Lembaga Pengarah CIDB Datuk Awang Buhtamam Awang Mahmun berkata, akta itu melibatkan 33 fasal yang akan memberi impak kepada tiga faktor utama iaitu pengurusan, bahan binaan dan pekerja binaan.

Katanya, pindaan ini bertujuan meningkatkan aspek pemantauan kualiti dan keselamatan industri pembinaan.

“Kategori pindaan pertama melibatkan penambahan fungsi dan bidang kuasa sedia ada di dalam Akta 520 Pindaan (2011).

“Manakala pindaan kedua iaitu penambahbaikan akan melibatkan penyusunan semula peruntukan fungsi dan kuasa sedia ada di dalam akta sama ada ditambah baik, diperjelas mahupun diperkemas,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Pemantapan Peranan Klien Dalam Pembangunan Industri Pembinaan di sini kelmarin.

Beliau berkata, seminar siri keempat itu melibatkan lebih 150 peserta yang terdiri daripada kementerian dan jabatan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pihak pemaju serta klien sektor pembinaan.

Katanya, seminar sedemikian akan memberi pemahaman dan penerangan mengenai pelaksanaan pindaan akta berkenaan.

“Seterusnya, CIDB akan menganjurkan enam siri bagi klien di seluruh negara untuk meneruskan kesinambungan daripada seminar yang sama seperti tahun lepas.

“Usaha ini mampu meningkatkan pemahaman serta penyampaian maklumat kepada pihak klien mengenai pemilihan kontraktor bagi proses perolehan dan pelaksanaan kerja pembinaan,” jelasnya.

Menurutnya, peserta seminar juga dapat mengetahui maklumat secara terperinci tentang pindaan akta itu di samping menyuarakan pendapat mengenai industri pembinaan.

Terdahulu, sebanyak enam kertas kerja dibentangkan kelmarin yang memberi fokus peranan klien dalam industri pembinaan.

Antaranya ialah pendaftaran kontraktor dan hubungkaitnya dengan perolehan, kawalselia bahan binaan, penilaian SCORE-CIDB, pendaftaran dan pemerakuan personel binaan, pengisytiharan projek pembinaan, serta undang-undang dalam pelaksanaan kerja pembinaan.

Sembilan siri jelajah lagi akan dilaksanakan di negeri Pahang pada 13 Ogos tahun ini, Sarawak (27 Ogos), Pulau Pinang (10 September), Johor (22 September), Terengganu dan Kelantan (7 Oktober) serta Kedah dan Perlis (20 Oktober).

Turut hadir, Pengurus Besar Kanan Sektor Operasi CIDB Megat Kamil Azmi Megat Rus Kamarani dan Pengarah CIDB Sabah Othman Safar.

 

Advertisement