KOTA KINABALU: Selepas mengetahui anak kedua mereka dilahirkan dalam keadaan sumbing, ia bagaikan satu kejutan buat pasangan Sheela Julai dan Boalexander Kimpilid.
Ini kerana, sepanjang mengandungkan Braiten Shawn Boalexander, kedua-duanya tidak menyedari mengenai keadaan bayi itu.
Tidak mudah melatah dengan ujian yang dihadapinya, Sheela dan suami menguatkan semangat untuk lebih cekal dan sabar untuk menerima keadaan anak mereka.
“Sejak itu kami mula mendapatkan rawatan yang terbaik untuk Braiten kerana kami mahu dia menjalani kehidupan yang normal sebagaimana kanak-kanak lain.
“Kini, selepas lebih sebulan menjalani pembedahan di Hospital Pakar KPJ, kami semakin yakin dengan perkembangan Braiten,” katanya.
Braiten antara pesakit yang mengalami sumbing dan menjalani rawatan serta pemantauan di Hospital Pakar KPJ.
Pasangan berkenaan hanya menyedari tentang keadaan bibir sumbing anaknya sebaik Braiten dilahirkan.
Melihat kesukaran bayinya untuk menyusu, ia menimbulkan kesedihan dan kebimbangan buat mereka.
“Setiap kali Braiten mahu menyusu, saya perlu berhati-hati kerana air susu boleh terkeluar dari hidungnya.
“Walaupun Braiten tidak mengalami masalah kesihatan lain, tetapi keadaan bibirnya yang sumbing sedikit menyukarkan terutama ketika hendak menyusu.
“Atas nasihat keluarga dan rakan, mereka mencadangkan saya untuk berjumpa dengan Dr Charles Lee di Hospital KPJ,” jelasnya.
Beliau ditemui media sempena pelancaran Kempen ‘Clap for Joy’ anjuran Hospital KPJ Sabah di sini kelmarin.
Sheela berkata, sejak mendaftarkan anaknya di KPJ, banyak perkongsian bermanfaat yang diperolehi bersama suami berkaitan bibir sumbing.
Menurutnya, pada tanggal 21 April lepas, Braiten selamat menjalani pembedahan pertamanya dan sejak itu anaknya menunjukkan perkembangan yang lebih positif.
Bagi Boalexander, tiada perkara lain yang lebih menggembirakan melainkan dapat melihat anaknya membesar sihat seperti kanak-kanak lain.
Menurutnya, saiz telinga dan hidung Braiten juga semakin selari dan sudah mula menunjukkan respons setiap kali namanya dipanggil.
“Ia satu perkembangan yang sangat baik dan kami mahu keadaan ini memberikan kesan positif kepada Braiten.
“Selain itu, kami turut berpuas hati dan berterima kasih atas segala komitmen dan usaha yang diberikan oleh pasukan doktor di Hospital KPJ.
“Sejak dari peringkat awal hinggalah sekarang, mereka memberikan rawatan dan perkhidmatan yang terbaik buat Braiten,” katanya.
Sementara itu, Konsultan Pakar Bedah Plastik dan Pembinaan Semula Hospital KPJ Sabah Dr Charles Lee berkata, perjalanan rawatan bagi seorang penghidap sumbing memakan masa kira-kira 20 tahun.
Menyifatkannya sebagai sebuah perjalanan yang lama, pihaknya sentiasa yakin untuk menyediakan rawatan dan perkhidmatan yang sewajarnya kepada pesakit.
“Di sini kami memberikan rawatan yang sepatutnya dan selepas menjalani pembedahan, para pesakit akan menjalani rawatan susulan.
“Bagi pesakit sumbing, mereka memerlukan pemantauan secara berterusan kerana ia melibatkan proses pembesaran.
“Sehubungan itu, kami menggalakkan ibu bapa yang mempunyai anak sumbing supaya segera menjalani rawatan seawal usia bayi dua minggu,” katanya.
Mengenai pelancaran kempen berkenaan, ia adalah pertama kali diadakan oleh KPJ Sabah dan ia dibuka secara percuma.
Beliau berkata, usaha itu sejajar dengan langkah untuk menggalakkan orang ramai menerima pendedahan berkaitan penyakit sumbing.
Ini kerana jelasnya, masih ramai dalam kalangan masyarakat tidak mengetahui tentang penyakit berkenaan dan cara rawatan yang sepatutnya.
“Dengan menjalani rawatan di KPJ, pesakit tidak akan berdepan dengan masalah menunggu yang lama dan berpeluang menerima prosedur rawatan yang terbaik.
“Anak-anak yang mengalami sumbing wajar mendapat rawatan untuk memulihkan keadaan bibir yang sumbing.
“Secara tidak langsung, ia memberikan peluang cerah kepada mereka untuk menjalani kehidupan yang lebih baik,” katanya.
Sempena dengan kempen itu juga, pihaknya akan memberikan satu alat dipanggil ‘nostril stents’ kepada Braiten selama sembilan bulan secara percuma.
Alat itu katanya, akan membantu membentuk kedudukan hidung dan bibir yang lebih stabil kepada Braiten.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Sabah Mohd Azhar Abdullah.