Anda di sini

Pantau penjualan lot tanah: Jainab

Advertisement
 Jainab (dua kiri) memberikan sokongan moral kepada salah seorang mangsa kebakaran setinggan yang ditempatkan di Dewan Muhibbah, Sembulan kelmarin.

SOKONGAN MORAL: Jainab (dua kiri) memberikan sokongan moral kepada salah seorang mangsa kebakaran setinggan yang ditempatkan di Dewan Muhibbah, Sembulan kelmarin.

Penjualan tanpa kelulusan pihak berkuasa boleh mewujudkan setinggan

KOTA KINABALU: Ketua kampung serta pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dinasihatkan agar memantau aktiviti penjualan lot tanah kampung yang tidak mendapat kelulusan daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) kepada orang luar.

Perkara berkenaan ditegaskan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid pada sidang media sewaktu melawat mangsa kebakaran di setinggan Kampung Sepakat Jaya, Sepanggar yang ditempatkan di Dewan Muhibah, Sembulan di sini kelmarin.

Beliau berkata, perbuatan menjual lot tanah yang tidak mendapat kebenaran mana-mana pihak berkuasa tempatan menyebabkan wujudnya penempatan setinggan yang semakin berleluasa.

“Kawasan penempatan yang banyak akan membawa kemudaratan kepada penduduk di kawasan itu sendiri jika berlakunya kebakaran yang menyebabkan kemusnahan harta benda sekali gus dalam sekelip mata.

“Kita tidak dapat mengelak kemusnahan harta benda jika berlakunya kebakaran berikutan struktur rumah yang dibina terlalu rapat antara satu sama lain seperti yang berlaku di kebanyakan penempatan termasuklah Kampung Gusung, Likas yang berlaku baru-baru ini,” katanya.

Jainab berkata, pihaknya juga menegaskan agar sesiapa yang didapati bersekongkol dengan orang luar perlu dikenakan tindakan tegas undang-undang.

Beliau bagaimanapun, memuji ketangkasan anggota bomba serta anggota polis yang bertindak pantas dalam mengawal kebakaran berkenaan daripada terus merebak dengan lebih besar.

“Usaha anggota keselamatan ini harus dipuji tambahan membantu menghantar mangsa ke Dewan Muhibbah, Sembulan walaupun jauh daripada kawasan Sepanggar,” katanya.

Menurutnya, seramai 215 mangsa kebakaran itu akan dibantu seboleh yang mampu dari semua aspek keperluan dengan mengaplikasikan standard pencapaian masyarakat seperti yang diilhamkan Perdana Menteri baru-baru ini.

“Kami akan berusaha memberikan bantuan barangan keperluan untuk keselesaan mangsa kebakaran buat sementara waktu di samping menjalankan program kepada orang ramai agar bersama-saman menyalurkan bantuan kepada mangsa.

“Kita turut mengalu-alukan bantuan semua pihak terutama bantuan dari segi air mineral, tandas bergerak dan barangan keperluan asas harian.

“Selain itu, bantuan kebajikan kepada wanita juga akan diutamakan berikutan waktu perayaan yang semakin dekat dengan mengajar resipi masakan serta mengadakan kursus pembuatan kuih raya.

“Kanak-kanak di sini juga akan didedahkan dengan pembelajaran sama seperti di sekolah bagi mengurangkan gejala sosial dalam kalangan mereka,” katanya.

Advertisement