Anda di sini

Jaga kebersihan sungai, kata Jainab

Advertisement

KOTA KINABALU: Masyarakat di negeri ini disaran sentiasa mengamalkan budaya menjaga kebersihan sungai dengan tidak membuang sampah ke dalam sungai berdekatan kawasan masing-masing.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata, budaya ini harus dipupuk dalam kalangan masyarakat bagi mengekalkan fungsi sungai sebagai sumber air manusia.

Katanya, sungai juga boleh dijadikan tempat riadah dalam menjalankan aktiviti-aktiviti berfaedah seperti sukan air.

“Kita memiliki banyak sungai yang berupaya untuk dibangunkan bagi tujuan ekopelancongan di negeri ini.

“Justeru, menerusi usaha menjaga kebersihan sungai, ia dapat meningkatkan kegiatan sukan air sekali gus menjana ekonomi di kawasan masing-masing,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Program Sukan Air Kampung Darau Menggatal di sini kelmarin.

Jainab berkata usaha mengadakan program sukan air berkenaan mampu menjadi ikutan kepada kampung yang lain.

Katanya, ia boleh dinaik taraf menjadi tuan rumah sukan air bagi menarik kunjungan orang ramai di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur Sukan Air Kampung Darau Rajak Duasi berkata, program itu adalah julung kali diadakan di kampung berkenaan.

Katanya, objektif program itu adalah bagi memberi galakan kepada penduduk kampung untuk mengikuti pelbagai aktiviti sihat yang dianjurkan.

Menurutnya, antara aktiviti yang dijalankan termasuklah Pertandingan Memancing, Pertandingan Lumba Perahu Kampung dan cabutan tiket bertuah.

Terdahulu, program itu anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Suang Emboh Kampung Darau Menggatal serta Komuniti Perwani Al Munir Kampung Darau.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kampung Darau Jamran Majid dan Ketua Kampung Darau Jati Binijan.

Advertisement