Anda di sini

Ambil tindakan wajar tangani kadar gangguan bekalan elektrik: Linda

Advertisement

SANDAKAN: Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Linda Tsen Thau Lin mahu Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menangani kadar gangguan bekalan elektrik di Sabah.

Berucap ketika perbahasan di Parlimen, beliau berkata kadar gangguan bekalan elektrik di sesebuah kawasan perlu ditangani agar tidak membawa kesulitan kepada proses pembangunan dan juga keselesaan hidup rakyat.

Menurutnya, beliau telah banyak kali menyuarakan masalah gangguan bekalan elektrik di negeri ini dan berharap perkhidmatan itu terutama di kawasan bandar seperti Kota Kinabalu dan Sandakan dapat ditambah baik di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11).

 

Katanya, kestabilan bekalan elektrik bukan sahaja mencerminkan kemajuan sesebuah negara, malah ia juga merupakan salah satu faktor yang menjadi penilaian oleh pihak pelabur dari dalam dan luar negara untuk melaburkan modal bagi membangunkan sesuatu projek di sesebuah kawasan.

“Sememangnya tenaga elektrik amat penting dan merupakan keperluan asas yang diperlukan oleh rakyat samada di bandar mahupun di kampung-kampung,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Linda berkata usaha murni kerajaan dalam memperkenal projek rumah mampu milik iaitu Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan program perumahan rakyat di seluruh negara merupakan satu langkah bijak yang boleh membantu lebih ramai individu memiliki rumah sendiri.

Katanya, ia secara tidak langsung dapat meningkatkan taraf hidup dan memberi kesejahteraan kepada rakyat di negara ini terutamanya golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana.

“Kita berharap projek PR1MA dapat diperbanyakkan lagi bagi membolehkan lebih ramai orang memiliki rumah sendiri.

“Dengan pembangunan pesat di bandar-bandar utama di Sabah seperti Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau, terdapat masalah setinggan yang berpunca daripada penghijrahan penduduk dari desa ke bandar.

“Sehubungan itu, saya mencadangkan agar penduduk di kawasan setinggan ini termasuk di Batu Sapi akan diberi keutamaan dalam projek-projek PR1MA dan program perumahan rakyat,” jelasnya.

Advertisement