Anda di sini

Timbalan Ketua UMNO Kota Marudu sumbang peralatan bina kelas agama

Advertisement

TANDEK: Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kota Marudu, Datuk Hussein Oyong menghulurkan sumbangan berupa kayu beruti, zink dan sebagainya untuk membina bangunan sementara Kelas Bimbingan Saudara Kita, Kelas al-Quran dan Fardu Ain KAFA dan Kelas Tahmir (Kelas Bimbingan Agama Islam) di Kampung Noloton Tandek dekat sini.

Buat masa ini kelas itu diadakan di tepi sebuah rumah kediaman hamba Allah dan dalam keadaan daif serta tidak memenuhi keperluan sebagai sebuah kelas agama.

Kelas Bimbingan Agama Islam ini dihuni oleh hampir 50 orang pelajar (lelaki/perempuan) kanak-kanak dan dewasa dengan bimbingan seramai enam orang guru yang terdiri daripada dua orang ustaz dan empat orang ustazah.

Ustaz Muhsin Mohd Shaffie dan Ustazah Natifah Zubair dari JAKIM  Kota Marudu, Ustaz Sobri membimbing Kelas KAFA dan Kelas Tahmir Ustazah Khairunisah Maidin, manakala dua orang pembantu lepasan Pusat Latihan Dakwah Keningau terdiri daripada Ustazah Marina Paulus dan Ustazah Nurul Izzati Bitli.

Jadual waktu kelas terpaksa bergilir, Isnin, Selasa dan Khamis kelas itu digunakan oleh KAFA, manakala hari-hari lainnya diambil alih oleh JAKIM dan JHEAINS bagi meneruskan pembelajaran dalam bidang agama Islam.

“Saya sumbangkan seperti yang dipohon oleh mereka yang memerlukan untuk membangunkan kelas sementara kerana melihat keadaan kelas yang ada sekarang amat memilukan,” katanya.

Katanya, tapak sudah tersedia dan telah pun dimeterai perjanjian dengan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) untuk membangunkan sebuah surau manakala melalui JAKIM atau JHEAINS dipohon untuk membina sebuah Kelas Bimbingan Agama Islam yang boleh menampung 100 orang pelajar dalam satu masa.

Katanya, sebagai pemimpin di peringkat akar umbi beliau merayu kepada kerajaan negeri melalui mana-mana agensi kerajaan yang berkenaan agar mempercepatkan urusan meluluskan peruntukan membangunkan surau dan Kelas Bimbingan Agama Islam di Kampung Nolotan.

Katanya, memang amat sesuai dan tepat pada masanya jika kedua-dua bangunan tersebut dibangunkan segera memandangkan keperluan yang mendesak.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kelas Bimbingan Agama Islam Kampung Nolotan, Riduan Panguji Abdullah@ Janah berkata, beberapa bulan yang lalu Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAINS) telah melawat kelas dan tapak baharu untuk dibangunkan kelas kekal yang lebih selesa.

“Kami sebagai saudara memohon agar pembinaan surau dan kelas itu dipercepatkan memandangkan masyarakat Islam dan anak-anak kami amat memerlukan bimbingan khususnya dalam bidang pendidikan agama Islam,” tegasnya.

Hadir sama, Penyelia KEMAS Kawasan DUN Tandek Joba Panguji dan ketua guru kelas Ustazah Natifah Zubair.

Advertisement