Anda di sini

Pesta Kaamatan kembangkan budaya rentasi batas perbezaan politik, etnik dan kepercayaan

Advertisement

PENAMPANG: Pesta Kaamatan atau pesta menuai yang disambut secara tradisi oleh kaum Kadazan, Dusun dan Murut di Sabah, terbukti berupaya mengembangkan budaya merentasi batas perbezaan politik, etnik dan kepercayaan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan peringkat negeri, berkata keadaan itu juga membolehkan semangat kekitaan dan kerjasama antara masyarakat pelbagai lapisan diperkukuhkan.

“Pada tahun ini, bersesuaian dengan keadaan semasa, tema Pesta Kaamatan ialah Keamanan dan Perpaduan Melalui Kebudayaan.

“Tema ini amat tepat dan relevan sekali dalam membantu menangani isu dan polemik ekstremisme berbau perkauman yang boleh membawa perpecahan dan ketegangan dalam masyarakat berbilang bangsa di negara kita,” katanya pada majlis penutupan perayaan Pesta Kaamatan peringkat negeri di sini semalma.

Majlis penutupan tersebut disempurnakan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Pairin juga berkata usaha pemantapan keamanan dan perpaduan dalam kepelbagaian budaya dan pembangunan insan tidak seharusnya terbatas sebagai tanggungjawab kerajaan sahaja.

“Ini tanggungjawab kita bersama. Generasi kita hari ini adalah penentu sama ada kita boleh menghayati, memanfaatkan dan mewariskan budaya yangmenyatupadukan kepelbagaian sebagai asas kukuh kepada bangsa 1Malaysia,” katanya.

Pairin berkata penganjuran Pesta Kaamatan sepanjang Mei sejak 1960, memberi peluang kepada penduduk asal Sabah (Kadazan, Dusun dan Murut) untuk menyumbang kepada pembangunan kebudayaan, kesenian dan industri berasaskan pertanian di negeri ini dan negara secara amnya.

“Sememangnya Pesta Kaamatan sudah menjadi amalan tradisi penduduk asal kita di Sabah sebagai peluang bersyukur kepada Tuhan, berdamai sesama insan dan mempersembahkan kepelbagaian khazanah budaya masyarakat berbilang kaum demi merealisasikan kewujudan masyarakat kaum yang unik di persada antarabangsa,” katanya. — Bernama

Advertisement