Anda di sini

Bangunan baharu untuk SMK St Patrick

Advertisement

Ia bagi menampung peningkatan populasi pelajar, pembinaan dijangka dilaksana tahun ini

Oleh Bryan Bell //

MUKAH: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Patrick yang berusia lebih 100 tahun akan mempunyai sebuah bangunan baharu bagi menampung peningkatan populasi pelajar dan projek pembinaan itu dijangka dilaksana tahun ini.

Hasrat dan cadangan sekolah itu untuk memiliki bangunan tambahan memang sudah sekian lama disuara dan dikongsi dengan pelbagai pihak termasuk dua wakil rakyat di sini beberapa tahun lalu.

SMK St Patrick dibina sejak 1905 merupakan sekolah tunggal di bahagian Mukah yang masih mengamalkan sistem persekolahan dua sesi (pagi dan petang) sejak 1993.

Ini berlaku kerana sekolah tertua di bahagian ini mengalami kekurangan bilik kelas berikutan pertambahan populasi pelajar.

Pada masa ini, sekolah tersebut mempunyai 587 pelajar dan daripada jumlah itu, seramai 333 pelajar pada sesi pagi dan selebihnya (254) sesi petang. Jumlah guru ialah 52 orang dan kakitangan sokongan 13 orang.

Senario itu menimbulkan masalah tertentu bukan sahaja kepada pelajar dan ibu bapa malah guru.

Difahamkan cadangan pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) untuk membina sebuah bangunan baharu sukar dilaksanakan selama ini kerana masalah kewangan.

Berikutan itu, pihak PIBG SMK St Patrick dan badan mubaligh yang berpangkalan di Sibu mengambil langkah sewajarnya untuk merealisasikan hasrat dan cadangan mereka.

Pengerusi PIBG Dominic Aseng Edal berkata, pelan bangunan sudah ada dan hanya menunggu untuk dilaksanakan.

Katanya tingkat satu dan dua untuk bilik kelas sebanyak kira-kira 18 unit manakala tingkat bawah mungkin untuk pentadbiran dan lain-lain.

“Projek ini akan dilaksanakan berdasarkan ‘beli dan bina’ dan dijangka bermula pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata sementara bangunan baharu akan dibina, pihaknya juga bercadang untuk menaik taraf beberapa bangunan kayu lama sedia ada untuk digunakan sebagai makmal dan sebagainya.

Katanya bangunan baharu itu amat diperlukan untuk menampung peningkatan populasi pelajar dan mengatasi masalah tertentu yang lain.

Pada 28 Mac lalu, bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) St Patrick itu mempengerusikan mesyuarat agung tahunan (AGM) PIBG di Dewan Serba Guna sekolah dan beliau juga menyentuh tentang projek bangunan baharu itu.

Sementara itu, tinjauan semalam mendapati beberapa tiang cerucuk konkrit  sudah dibeli dan diletakkan di pekarangan sekolah sementara menunggu untuk dibawa ke tapak projek yang terletak di bahagian belakang sekolah itu.

Advertisement