Anda di sini

Pengukuhan institusi kekeluargaan penting atasi penyalahgunaan dadah

Advertisement

KOTA KINABALU: Pengukuhan institusi kekeluargaan penting bagi mengatasi penyalahgunaan dadah dalam kalangan generasi muda khususnya di negeri ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata, langkah ini penting bagi melahirkan generasi muda yang tidak mudah terpengaruh dengan  gejala berkenaan.

Katanya, generasi muda perlu dididik dan diberi perhatian setiap masa dari aspek keperluan harian, pergaulan dan pelakuan mereka.

“Ibu bapa hendaklah sentiasa mendampingi anak-anak dengan kasih sayang dan memahami keperluan mereka.

“Suasana yang harmoni dalam rumah tangga akan menjadi faktor pelindung untuk mengelakkan mereka terlibat dengan masalah dadah,” katanya di sini kelmarin.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Anita Baranting ketika berucap merasmikan Program Hawa ‘Hargai Wanita dan Anak’.

Jainab berkata, tema bagi sambutan Hari Anti Dadah Kebangsaan 2015 iaitu ‘Dadah…Kesannya Membinasakan’ dipilih bertujuan memberi penegasan bahawa penyalahgunaan dadah dapat memudaratkan kesihatan kepada pengguna sekali gus masyarakat sekeliling.

Katanya, kesan terhadap pengguna dadah berbeza mengikut jenis dadah yang diambil.

“Dadah tradisional seperti candu, heroin dan morfin boleh menyebabkan pengguna berasa khayal dan mengalami sindrom penarikan (gian).

“Dadah jenis sintetik atau ‘Amphetamise Type Stimulant’ (ATS) iaitu dadah perangsang pula boleh mengakibatkan keadaan mental tidak stabil, hilang kawalan diri dan bertindak agresif,” jelasnya.

Selain itu beliau berkata, usaha memerangi penyalahgunaan dadah tetap diteruskan dalam apa cara sekalipun termasuklah melalui pendidikan kesedaran dalam kalangan orang awam.

Katanya, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) giat mempelbagaikan aktiviti yang mampu menarik golongan belia menyertai program-program yang dilaksanakan sama ada peringkat negeri mahupun daerah.

“Antara program yang bakal dan sedang dilaksanakan adalah pertandingan futsal, pertandingan teater, perkhemahan dan berbasikal.

“Walau bagaimanapun, program-program teras lain yang disediakan oleh pihak PEMADAM Kebangsaan juga dilaksanakan,” katanya.

Terdahulu, beliau berharap agar forum ‘Hidup Penuh Erti’ yang dikongsikan pada majlis itu mampu memberi impak positif kepada peserta yang hadir.

Empat panel forum berkenaan adalah wakil daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia, Lembaga Pembangunan Penduduk Keluarga dan Negara, Jabatan Kesihatan serta Jabatan Pendidikan.

Advertisement