Anda di sini

Miliki minda kelas pertama: Musbah

Advertisement

Modal insan yang mampu penuhi keperluan pembangunan masyarakat

KOTA BELUD: Generasi kini, perlu memiliki minda kelas pertama untuk memenuhi pelan pembangunan negara menjelang 2020, kata Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Musbah Jamli.

Musbah berkata, minda kelas pertama secara mudah difahami sebagai ciri-ciri modal insan yang mampu memenuhi keperluan pembangunan individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia.

Katanya, ciri-ciri itu merangkumi aspek penguasaan ilmu yang tinggi, sikap proaktif, kekayaan moraliti, budaya menyumbang untuk kepentingan bersama dan pembangunan yang bersifat holistik.

Menurut Musbah, inilah yang boleh dilabelkan sebagai agenda pembangunan tamadun dengan acuan imej tersendiri.

“Jauhkan diri kita daripada sikap kelas minda lama atau ketiga iaitu malas bekerja, suka berlengah, membuang masa, tiada berhemat, kerja sambil lewa, tidak bersemangat, leka dan sebagainya.

“Manusia minda kelas pertama, berfikiran ke hadapan untuk mencapai visi yang ditetapkan, adalah pelajar itu sendiri,” katanya Musbah yang juga ADUN Tempasuk berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang SMK Taun Gusi, di sini kelmarin.

Turut hadir, wakil Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kota Belud, Pegawai Sisct’+ BM/SR Roslan Mausur dan Pengetua Cemerlang SMK Taun Gusi Suid Hanapi.

Musbah berkata, justeru pelajar yang mempunyai Minda Kelas Pertama merupakan golongan yang mempunyai tahap keilmuan dan falsafah yang tinggi dengan penguasaannya dalam pelbagai lapangan ilmuan.

“Oleh itu, dalam usaha kita untuk melahirkan rakyat yang memiliki minda kelas pertama, pihak kerajaan telah pun merancang strategi yang diperlukan melalui peningkatan terhadap keupayaan dan penguasaan ilmu pengetahuan.

Musbah berkata, transformasi pendidikan negara seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 akan dilaksanakan dalam tiga gelombang.

Gelombang pertama, memberi penekanan kepada menambah baik sistem dengan mempercepat perubahan kaedah pelaksanaan program.

“Dalam tempoh pelaksanaan itu, tumpuan diberikan kepada kaedah peningkatan kualiti pengajaran dengan meningkatkan kualiti guru sedia ada, meningkatan kualiti kepimpinan sekolah dan meningkatkan kadar literasi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan numerasi.

Gelombang kedua katanya, kementerian akan melaksana perubahan struktur pendidikan negara untuk mempercepat perjalanan perubahan kepada semua inisiatif yang bermula semasa gelombang pertama.

“Dan gelombang ketiga akan memfokus kepada anjakan ke arah kecemerlangan dengan peningkatan keluasan operasi, di mana pada permulaan gelombang ini, semua sekolah, guru dan pengetua/guru besar perlu menunjukkan prestasi melebihi standard minimum,” katanya.

Muabah berkata, kementerian juga akan menganjakkan kebanyakan sekolah kepada model pengurusan berasaskan sekolah dan membangunkan model kejayaan sekolah berdasarkan inovasi dalam pengajaran, dalam usaha membangunkan sistem pengekalan kemajuan kendiri yang mampu untuk mencetuskan inovasi dan meningkatkan pencapaian yang lebih tinggi.

Anugerah Terbaik Peperiksaan Awam 2014 SMK Taun Gusi, STPM, Nur Fazilah Samdin 1A, 2A-, 1B,( Pngk 3.59), SPM, Hansel Dancel Zaimin, 7A, 2B dan PT3, Nurainie Ejam, 6A, 3B, 1C dan ramai yang tidak sempat dicatat.

Advertisement