Anda di sini

Kes rasuah, salah guna kuasa penjawat awam Sabah turun

Advertisement

Petunjuk yang jadi juruukur imej penjawat awam di Sabah

KOTA KINABALU: Kes rasuah dan salah guna kuasa membabitkan penjawat awam di Sabah menampakkan trend menurun sejak tahun 2012, kata Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah Datuk Hishamuddin Hashim.

Katanya berdasarkan rekod SPRM, kes rasuah dan salah guna kuasa penjawat awam di Sabah pada tahun 2012 ialah sebanyak 77 kes dan menurun kepada 58 kes pada tahun 2013, 2014 (57) dan sehingga Rabu lalu (27 Mei) tahun ini kes terus menurun kepada 18 kes.

“Pengurangan ini merupakan petunjuk yang akan mengukur imej penjawat awam khususnya dalam perkhidmatan awam negeri Sabah,” katanya ketika berucap pada majlis Ikrar Integriti dan pelancaran buku Arahan Perkhidmatan Negeri Sabah untuk ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri di sini kelmarin.

Pada majlis berkenaan, 10 setiausaha tetap dan 46 pengarah pelbagai jabatan kerajaan negeri memeterai ‘Ikrar Komitmen Membanteras Jenayah Rasuah dan Sokongan Pencegahan Rasuah’.

Pada 14 April lalu, Sabah mencipta sejarah apabila menjadi negeri pertama di negara ini dengan semua ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah daripada  parti pemerintah dan pembangkang menandatangani ikrar komitmen pencegahan rasuah.

Mengenai majlis berkenaan, Hishamuddin berkata ia selari dengan pendirian toleransi sifar kerajaan terhadap rasuah, serta mengambil langkah-langkah tegas bagi menanganinya.

Katanya bagi mewujudkan tadbir urus yang baik dan berintegriti, satu daripada mekanisme yang diperkenalkan adalah menerusi ‘Kawalan Sistem’ yang mampu mencegah atau menutup ruang serta peluang yang menjadi punca kepada berlakunya rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan lain-lain kelemahan pengurusan di semua peringkat pelaksanaan operasi jabatan.

Hishamuddin berkata Sistem Kawalan berkenaan juga bertujuan untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan dan mengukuhkan integriti pegawai awam seperti dalam aspek tatacara kerja yang jelas, telus dan bertanggungjawab serta mempunyai mekanisme semak dan imbang. — Bernama

Advertisement