Anda di sini

Hosiani Ratu Kaamatan Oceanus 2015

Advertisement

KOTA KINABALU: Hosiani Jaimis dipilih selaku Ratu Kaamatan Oceanus 2015 yang pertama pada pertandingan akhir yang berlangsung di sini baru-baru ini.

Gadis berusia 22 tahun berasal dari Tambunan itu menewaskan tujuh peserta akhir yang lain selepas terpilih dalam kelompok 20 terbaik dari jumlah lebih 50 peserta yang menyertai pertandingan tahun ini.

Selaku juara, Hosiani meraih wang tunai RM3,000, baucar tunai bernilai RM1,000 dari Paris Station, trofi, sejadah, tiara, sejambak bunga serta sijil.

Hosiani juga memenangi ‘Ratu Kaamatan Popular’ selepas menerima lebih tujuh ribu `likes’ dalam laman sosial Facebook Oceanus Waterfront Mall selain menduduki tempat kedua ‘Gaun Etnik Sezaman Terbaik’ untuk menerima hadiah wang tunai tambahan masing-masing berjumlah RM800 dan RM500.

Pertandingan tahun ini yang diadakan buat julung-julung kalinya itu menyaksikan Pachara Emmanue Apin berasal dari Keningau, menduduki tempat kedua untuk menerima hadiah wang tunai RM2,000, baucar tunai Paris Station bernilai RM800, trofi, sejadah, tiara, sejambak bunga dan sijil.

Pachara juga menerima hadiah sampingan wang tunai RM1,000 selepas muncul selaku pemenang ‘Gaun Etnik Sezaman Terbaik’ menerusi pakaian bertemakan ‘Glamour Rose Huminodun’ yang direka menerusi gabungan suku kaum Dusun Tindal dan Bajau oleh pereka tempatan Boy Petrus Pensin.

Tempat ketiga disandang oleh Deidre Casandra Marius dari Kota Kinabalu untuk meraih wang tunai  RM1,000, baucar tunai Paris Station bernilai RM500, trofi, sejadah, tiara, sejambak bunga dan sijil.

Seperti Hosiani dan Pachara, Deidra juga menerima hadiah sampingan wang tunai RM500 selepas dipilih selaku Ratu Ka’amatan Personaliti.

Lima peserta akhir yang lain iaitu Felcy Fransie Julian, Carrey Evanne Kim Lee, Falynda Sharon Mathew, Jenell Albert Joseph dan Mayzlyne Ley Matius masing-masing menerima hadiah saguhati berupa wang tunai RM200 dan sejambak bunga.

Pertandingan itu diadili oleh pengadil profesional terdiri daripada pengarah pengarah Seri Insan Borneo School yang juga pengerusi Ocean7 Art Gallery; Datin Sharifah Habsah, pengerusi Hyatt Regency Kinabalu; Datuk Gordon Leong, Unduk Ngadau 2013; Immaculate Lojuki, ketua bahagian perlesenan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK); Joanna Johnny Goh serta Eddy Liow dari Paris Station.

Majlis pembukaan telah disempurnakan oleh pengarah eksekutif Waterfront Urban Development (WUD); Johnson Koh dan pengarah eksekutif Hussain Kassim dengan disaksikan oleh para tetamu jemputan termasuk Dorin Datuk Thomas Stuel dari DBKK serta para penyewa dan pengurusan Oceanus Waterfront Mall.

Oceanus Waterfront Mall merupakan penganjur serta penaja utama Ratu Kaamatan Oceanus 2015 selain mendapat sokongan dari Paris Station, Ocean7 Art Gallery, Jelly Bunny, Yuzu Japanse Restaurant, EzyLife, Sushi Tei, Miki Florist, Thalia Boutique, Wonderbox dan Sri Andaman Boutique.

Advertisement