Anda di sini

Dua sahabat nyaris maut dilanggar dari dua arah

Advertisement

KUCHING: Dua sahabat nyaris maut selepas motosikal mereka dilanggar dari belakang sebelum dirempuh sebuah lagi kereta dari arah bertentangan, awal pagi semalam.

Difahamkan, insiden berlaku di Jalan Stapok Utama di sini ketika dua sahabat terbabit dalam perjalanan menuju ke tempat kerja mereka di Bandar Baharu Batu Kawa (MJC) sekitar jam 6 pagi.

Menurut sumber, penunggang motosikal berusia 18 tahun dan berasal dari Spaoh itu gagal mengawal motosikalnya apabila tiba-tiba dilanggar dari belakang sehingga terbabas ke laluan bertentangan.

“Ekoran itu, satu kereta yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu merempuh motosikal tersebut menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak beberapa meter dari tempat kejadian,” kata sumber.

Mangsa yang menunggang motosikal tersebut tidak sedarkan diri di tempat kejadian, manakala rakannya yang merupakan warganegara asing segera mendapatkan bantuan daripada pengguna jalan raya lain.

Mangsa yang dikhuatiri patah tulang pinggang dan rakannya yang ceder ringan telah dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, seorang tukang cat mengalami kecederaan parah di kepala selepas terjatuh ketika sedang bekerja di Betong, petang kelmarin.

Difahamkan mangsa, 34, semasa kejadian sedang mengecat sebuah bangunan apabila ‘sky lift’ tempatnya berdiri mengalami kerosakan lalu terbalik menyebabkan dia terjatuh sekitar jam 5 petang.

Mangsa yang cedera di kepala itu dikejarkan ke Hospital Betong, namun dirujuk ke HUS untuk rawatan lanjut.

Sehingga berita ini ditulis semalam,mangsa dilaporkan stabil namun masih menerima rawatan di Unit Kecemasan HUS.

Advertisement