Anda di sini

Warga asing terjun laut elak polis peronda ditemui lemas

Advertisement

TRAGEDI: Mayat mangsa yang ditemui 100 meter dari tebing Teluk Sepanggar sebelum dibawa naik oleh anggota JBPM.

KOTA KINABALU: Gara-gara tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, seorang lelaki warga asing lemas selepas bertindak terjun ke laut ketika ditahan kereta peronda polis di Teluk Sepanggar, di sini kira-kira jam 6.30 petang Selasa.

Mangsa dikenali sebagai Anthony Muhribin, 20, disahkan mati lemas ketika dijumpai oleh penduduk kampung pada jam 2.20 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, sebelum kejadian mangsa bersama tiga lelaki lain berada dalam sebuah kereta Proton ditahan anggota polis yang membuat rondaan di Jalan Sepanggar berhampiran Teluk Sepanggar.

“Dua daripada lelaki itu berjaya ditahan dan seorang lagi melarikan diri, manakala mangsa pula bertindak terjun ke dalam air bagi mengelak ditangkap polis.

“Bagaimanapun, mangsa dipercayai lemas selepas berenang sejauh 400 meter dari lokasi kejadian apabila saksi melihat mangsa tenggelam timbul di kawasan laut yang mencecah paras kedalaman empat meter itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Chandra berkata, operasi mencari dan menyelamat di lokasi kejadian seterusnya dijalankan sekitar jam 11 malam hingga 12 tengah malam pada hari berkenaan.

“Pihak berkuasa termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Marin dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) termasuk penduduk kampung menjalankan operasi mencari dan menyelamat bermula jam 7 pagi kelmarin menggunakan tujuh bot.

“Mangsa akhirnya dijumpai pada jam 2.20 petang sekitar 100 meter dari kawasan tebing sebelum dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk dibedah siasat,” katanya, sambil menambah dua lelaki yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri.

Advertisement