Anda di sini

UMS majukan kaedah kesan melamine dalam susu

Advertisement

Hasil kaji selidik hasilkan keputusan dalam masa 30 saat

KOTA KINABALU: Penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya memajukan kaedah mengesan kewujudan bahan melamine dalam produk susu dengan 99 peratus ketepatan.

Pensyarah Kanan (Makmal Biokimia) Institut Penyelidikan Bioteknolgi UMS Dr Shafiquzzaman Siddiquee berkata beliau mengendalikan penyelidikan itu berasaskan teknologi sensor elektrokimia bagi memajukan kaedah berkenaan.

Katanya, teknologi tersebut mampu menghasilkan keputusan dalam masa 30 saat berbanding kaedah konvensional yang memakan masa sehari.

“Melamine ialah sejenis ‘Triazine analog’ bersama tiga kumpulan amino. Ia biasanya digunakan dalam penghasilan resin ‘melamine-formaldehyde’ bagi membuat bahan plastik, bahan lapisan dan sebagainya.

“Namun akhir-akhir ini ia secara haram dicampurkan ke dalam produk tenusu oleh syarikat-syarikat tidak beretika,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Shafiquzzaman yang juga di bawah kumpulan penyelidik Biosensor UMS berkata usaha baru-baru ini oleh pelajar sarjananya, Rovina Kobun, memberi perhatian kepada pembangunan kaedah pengesanan biologikal digabungkan dengan ‘transducer’ dan ‘bionsensor’ fizikal.

Sementara itu, beliau berkata, kumpulan penyelidik biosensor UMS menyambut baik pihak berkuasa tempatan yang berminat terhadap teknik mengesan melamine untuk menghasilkan peranti mudah alih untuk tujuan komersial.

Peranti mudah alih lebih selesa digunakan sebagai indikator untuk pengguna mengesan kehadiran melamine dalam susu, kata beliau. — Bernama

Advertisement