Anda di sini

Polis rakam kenyataan suspek pencerobohan Lahad Datu dua kali

Advertisement

KOTA KINABALU: Polis merakamkan kenyataan tertuduh dalam insiden pencerobohan Lahad Datu sebanyak dua kali, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu semalam.

Bekas pegawai siasatan jenayah ASP Vernon Sinclair Dalton Doel berkata beliau merakamkan kenyataan Holland Kalbi pada 4 Mac, 2013 di dewan serbaguna Batalion ke-17 Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pada 9 Mac, 2013 di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Lahad Datu.

“Saya telah merakam kenyataan lebih 10 suspek sepanjang Ops Daulat. Tetapi kebanyakannya melibatkan kes imigresen.

“Saya difahamkan seorang daripada suspek bernama Holland Bin Kalbi didakwa di mahkamah,” katanya.

Vernon Sinclair, kini pegawai yang mengetuai balai polis Labuan, memberi keterangan pada perbicaraan 30 individu yang dikaitkan dengan pencerobohan oleh kumpulan bersenjata Sulu di Kampung Tanduo pada Februari 2013.

Kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya Jamil Aripin, pegawai polis itu berkata kenyataan Holland dirakamnkan dalam bahasa Bajau Simunul dan seorang anggota polis, Koperal Adam Mohd Nor bertindak sebagai jurubahasa.

Dua puluh tujuh warga Filipina dan tiga penduduk tempatan, dibicarakan atas pelbagai tuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Mereka juga dituduh merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas. — Bernama

Advertisement