Anda di sini

Perbetul persepsi negatif terhadap Suluk

Advertisement

Tidak wajar semua perkara yang tidak baik dikaitkan dengan masyarakat Suluk: PERMAS

KOTA KINABALU: Langkah proaktif perlu diambil untuk memperbetulkan persepsi negatif terhadap masyarakat Suluk di negeri ini, kata Presiden Persatuan Masyarakat Suluk Sabah (PERMAS) Datuk Matusin Sunsang.

Beliau berkata, setiap kali berlaku kes atau perkara yang negatif ia selalu dikaitkan dengan masyarakat Suluk.

Katanya, adalah tidak wajar semua perkara yang tidak baik dikaitkan dengan masyarakat Suluk.

“Ia menggores perasaan kita sebagai penduduk asal dan warga negara yang sah di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PERMAS di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negeri, Sabtu lepas.

“Malah apa yang menyedihkan ialah kegagalan kita membezakan antara masyarakat Suluk yang menjadi penduduk asal di negeri ini dengan mereka yang datang dari seberang. Orang luar yang tidak faham selalu menyamaratakan mereka kerana cetek pengetahuan,” katanya.

Katanya, Bapa Kemerdekaan Sabah Tun Datu Mustapha Datu Harun malah ramai dalam kalangan menteri adalah berbangsa Suluk dan kedudukan mereka adalah sama dengan rakyat lain di negeri ini.

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab PERMAS untuk berusaha membetulkan persepsi negatif terhadap masyarakat Suluk di negeri ini.

Selain itu, Matusin berkata PERMAS juga mahu memelihara, menjaga dan menghidupkan semula khazanah budaya, adat resam masyarakat Suluk untuk generasi akan datang.

Beliau juga menggesa agar kajian diperbanyakkan mengenai pelbagai aspek masyarakat Suluk termasuk dari aspek sejarah, budaya dan sebagainya kerana kedudukannya yang amat penting dalam sejarah di Nusantara.

“Selain itu, kita juga mahu mencari jalan untuk pemantapan ekonomi masyarakat Suluk supaya mereka juga tidak ketinggalan dari arus pembangunan.

“Kita harus mulakan usaha memartabatkan masyarakat Suluk dari sekarang. Setiap perjalanan bermula dari langkah pertama.

“Malah dari segi perniagaan, satu ringgit bermula dari satu sen. Tiada dua sen atau tiga sen kalau tiada satu sen,” katanya.

Ahli Jawatankuasa PERMAS 2015-2016 terdiri daripada Datuk Matusin Sunsang (Presiden), Abdul Rahman Jumadil (Timbalan Presiden), Fauziah Abu Bakar Titingan (Naib Presiden), Datuk Naufal Jumadil (Setiausaha), Aloyah Sunsang @Jauliah (Penolong Setiausaha) manakala ahli jawatankuasa terdiri daripada Mansor Sarail, Abdulhan Musa, Nasser Hamdain, Abenan Asli, Mohammad Abdillah dan Juraimin Jalil.

Advertisement