Anda di sini

Wanita luar bandar digesa bina kekuatan dengan pengetahuan

Advertisement

RANAU: Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Radin Malleh menggesa kaum wanita khususnya wanita yang tinggal di desa supaya terus menonjolkan diri dan membina kekuatan dengan ilmu pengetahuan.

Katanya, kaum wanita terutama dalam kalangan suri rumah yang berada di desa-desa perlu memiliki sekurang-kurangnya satu bidang kemahiran yang boleh digunakan untuk menjana pendapatan, melibatkan diri dalam bidang keusahawanan dan meningkatkan ciri-ciri kepimpinan diri untuk pembangunan keluarga dan masyarakat umum.

“Kerajaan akan meneruskan kursus serta latihan kemahiran bagi melahirkan usahawan-usahawan wanita yang berjaya dari kalangan wanita di kawasan-kawasan luar bandar,” katanya semasa merasmikan majlis penutupan Program Khidmat Masyarakat – Kursus Jahit Menjahit Asas dan Lanjutan bagi Kawasan Karanaan, di Ranau pada Khamis.

Kursus dua bulan itu adalah anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah bertempat di Dewan Masyarakat Ranau dan disertai oleh seramai 30 orang peserta dari kawasan Karanaan.

Selain menerima sijil kursus, mereka juga menerima alat mesin jahit masing-masing sumbangan Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun yang digunakan semasa berkursus untuk dijadikan modal permulaan menceburi bidang jahitan.

Radin berkata, Projek Khidmat Masyarakat – Kursus Jahit Menjahit adalah salah satu usaha kerajaan negeri untuk membantu kaum wanita desa, khususnya dari kalangan suri rumah dan ibu tunggal meningkatkan kemahiran diri dalam bidang jahit menjahit untuk menambah pendapatan keluarga tanpa bergantung kepada bantuan kerajaan semata-mata.

Katanya, peranan wanita dalam kehidupan seharian itu bukan hanya sebagai suri rumah yang menguruskan hal-hal rumah tangga.

“Kaum wanita juga boleh melakukan perubahan sama ada sebagai seorang usahawan yang berjaya dan menjadi seorang pemimpin yang disegani kerana telah banyak contoh tokoh wanita yang terkenal dan berjaya sebagai seorang usahawan dalam bidang pakaian, kosmetik, hartanah dan sebagainya,” katanya.

Beliau menggesa para peserta bersikap positif terhadap maklum balas pelanggan terhadap mutu hasil jahitan masing-masing yang akan menjadi perintis dalam bisnes menjahit yang akan dikembangkan kepada cabang produk jahitan lain seperti menjahit langsir, tudung, manik, sulaman, kraf tangan dan sebagainya.

Katanya, peluang perniagaan menjahit boleh dimulakan secara kecil-kecilan dari rumah.

Untuk permulaannya, mereka tidak payah mengenakan upah yang terlalu tinggi apabila mendapat tempahan dari saudara-mara, kawan-kawan atau jiran tetangga.

”Kita harus merubah pandangan masyarakat bahawa menjahit hanya terhad untuk pakaian semata-mata tetapi sebaliknya merangkumi pelbagai kategori seperti aksesori fesyen, hiasan rumah dan kraf tangan.

”Bidang seni reka fesyen semakin menjadi salah satu bidang kerjaya yang dianggap antara kerjaya yang glamour dan mampu memberi pendapatan lumayan serta tidak mengecewakan,” katanya lagi.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pegawai Daerah Paimin Kamin, wakil Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar Yahya Karim dan pemimpin pembangunan masyarakat dari kawasan Paginatan, Karanaan dan Kundasang.

Advertisement