Anda di sini

Pengurangan kakitangan MAS dibawa ke kabinet negeri

Advertisement

KOTA KINABALU: Cadangan untuk mengurangkan kakitangan Malaysia Airlines (MAS) yang melibatkan kakitangan di Sabah akan dibawa ke kabinet negeri untuk dibincangkan, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.

Beliau berkata ia bagi menjaga kebajikan kakitangan yang terlibat dengan langkah pemulihan syarikat penerbangan negara itu.

“Saya berharap pemberhentian yang melibatkan pekerja di Sabah akan dapat dipertimbangkan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penghargaan Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah di sini malam kelmarin.

Katanya peluang pekerjaan di Semenanjung adalah lebih besar berbanding di Sabah dan oleh itu berharap pihak MAS dapat mempertimbangkan untuk memberi keutamaan kepada pekerja di negeri ini.

Khazanah Nasional Bhd yang mengambil alih MAS mengadakan 12 pelan pemulihan semula yang antara lain mengecilkan tenaga kerja yang berjumlah kira-kira 20,000 orang.

Pada majlis itu, seramai 28 orang warga Taman-Taman Sabah menerima anugerah kecemerlangan. — Bernama

Advertisement