Anda di sini

Lapor kes rasuah tanpa rasa takut

Advertisement

SPRM jamin identiti orang yang melapor tidak akan sesekali didedahkan

TAWAU: Orang ramai diminta segera melaporkan apa sahaja maklumat kes rasuah yang berlaku di tempat masing-masing tanpa ada perasaan takut kerana identiti mereka tidak akan sesekali didedahkan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Mustafar Ali berkata perkara itu penting bagi mengurangkan salah laku jenayah rasuah dalam negara.

“Walaupun terdapat masyarakat yang takut menyampaikan maklumat kepada SPRM kerana tidak mahu mengambil sebarang risiko akan kesan laporan itu, namun mereka tidak perlu risau kerana identiti mereka tidak akan sesekali didedahkan kepada umum.

“Namun pemberi maklumat itu harus bertanggungjawab dengan maklumat yang diberikan kepada SPRM termasuk kualiti dan kesahihannya tanpa ada unsur penganiayaan terhadap seseorang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis menandatangani kerjasama dan sokongan pencegahan rasuah oleh pemimpin masyarakat di Kampung Merotai Besar Tawau, dekat sini semalam.

Mengulas mengenai program itu, Mustafar berkata ia merupakan program turun padang untuk menjelaskan peranan dan tanggungjawab SPRM kepada masyarakat.

“Dalam program ini, kita dapat mendengar pandangan masyarakat di sini tentang kerjasama di antara orang ramai dan SPRM dalam membanteras gejala rasuah,” katanya.

Sementara itu, ahli Parlimen Kalabakan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh berharap program itu dapat memberikan pendedahan dan ilmu pengetahuan kepada masyarakat tentang peranan yang dimainkan SPRM.

“Saya berharap menerusi program ini masyarakat khususnya di kawasan Kalabakan dan Tawau mengetahui peranan mereka dalam menyampaikan maklumat kepada SPRM mengenai rasuah yang berlaku di kawasan mereka,” katanya. — Bernama

Advertisement