Anda di sini

Polis tangkap suami disyaki bunuh isteri

Advertisement

KES BUNUH: Suspek yang didakwa di Mahkamah Majistret pada Selasa lalu dikawal oleh dua anggota polis.

KENINGAU: Seorang suspek rakyat asing yang bekerja sebagai buruh telah ditahan kerana disyaki membunuh isterinya di kawasan rumah kongsi sebuah syarikat di Sook pada kejadian 5 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Deputi Superintenden Douglas Nyeging Taong berkata, suspek yang berusia 37 tahun tidak memiliki sebarang dokumen.

Katanya, pada 5 Mei jam 10.48 pagi, satu laporan polis dibuat oleh anggota polis, Koperal Stephen Yuhin yang menjalankan tugas di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Daerah Polis di sini telah menerima panggilan telefon daripada pengurus sebuah syarikat.

“Pengurus itu mengatakan berlaku kes pembunuhan bertempat di kawasan rumah kongsi syarikat itu yang terletak di Sook,” katanya.

Douglas berkata, bertindak atas maklumat, pada tarikh yang sama jam 12.15 tengah hari, sepasukan anggota polis daripada IPD Keningau diketuai oleh beliau telah ke tempat kejadian dan mendapati satu mayat wanita berbaju dan berseluar panjang dalam keadaan terbaring.

Katanya, terdapat kesan darah di bahagian depan badan dan didapati beberapa kesan tusukan benda tajam disyaki ditikam dengan senjata tajam. Terdapat juga kesan luka di bahagian tangan kiri dipercayai akibat dikelar.

Menurut beliau, wanita itu yang berumur 42 tahun dikenali sebagai Lina Tagih, rakyat asing tidak memiliki sebarang dokumen yang sah.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, suspek iaitu suami kepada mangsa telah ditangkap untuk membantu siasatan polis ke atas kes itu.

“Siasatan pihak polis mendapati pada 5 Mei kira-kira jam 8.30 pagi, suspek bersama isterinya (mangsa) menunggu kereta sapu di tepi jalan kawasan rumah kongsi syarikat itu di Sook, Keningau untuk ke pekan Sook.

“Ketika itu, suspek ada menasihati isterinya supaya berubah kerana diketahui mangsa bermain kayu tiga. Seterusnya, telah berlaku pertengkaran sehingga suspek hilang sabar dan mengambil pisau dibawanya yang disimpan dalam beg pakaiannya, dan telah menikam mangsa beberapa kali di bahagian perut dan belakang badan sehinggalah mangsa rebah ketika melarikan diri tidak jauh dari tempat kejadian,” katanya.

Douglas berkata, motif kejadian dikenal pasti sebagai cemburu kerana suspek mendapati isterinya mempunyai hubungan sulit dengan seorang lelaki lain.

Katanya, suspek telah ditahan reman selama 14 hari untuk membantu siasatan polis.

Menurut beliau, pada Selasa lalu suspek telah didakwa di Mahkamah Majistret Keningau mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mandatori gantung sampai mati. Kes akan disebut semula pada 9 Jun tahun ini di mahkamah yang sama.

 

Advertisement