Anda di sini

Bungkusan disyaki bom gemparkan penumpang bas ekspres

Advertisement

LAHAD DATU: Penumpang bas ekspres dan orang awam yang berada di kawasan berhampiran terminal bas ekspres Fajar Center digemparkan dengan penemuan sebuah kotak mencurigakan yang tertulis ‘Kepada Mat Bom daripada Bapak Jamalul Kiram dari Semporna’ kerana menyangka kotak itu berisi bahan letupan ‘bom’, malam kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah SAC Salehhudin Abdul Rahman dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu berkata, bungkusan itu ditemui kira-kira jam 11.30 malam, semasa bas ekspres itu singgah seketika di terminal bas berkenaan untuk mengambil penumpang setelah berlepas dari terminal Semporna untuk perjalanan ke Kota Kianbalu.

Katanya, bungkusan kotak berukuran 3×8 dan tinggi 5 inci itu ditemui oleh pemandu bas berkenaan sewaktu memunggah barang di tempat penyimpanan barang yang kemudiannya bertindak memaklumkannya kepada polis.

“Bungkusan yang disyaki itu, telah dimuatkan dalam bas berkenaan dari terminal Semporna sebelum ia ditemui oleh pemandu bas berkenaan di terminal bas Fajar Center Lahad Datu, yang mana pada bahagian luar bungkusan terbabit tertulis ‘Kepada Mat Bom daripada Bapak Jamalul Kiram dari Semporna’,” katanya.

Salehhudin berkata, sejurus selepas menerima maklumat mengenai perkara itu, sepasukan anggota polis termasuk pegawai dan Unit Bom Polis Sabah serta Unit Anjing Pengesan (K-9) telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kotak itu telah diletupkan oleh Unit Bom Polis Sabah dan hasil pemeriksaan lanjut selepas letupan mendapati ia hanyalah sebuah jam kunci semasa,” katanya.

Katanya, seramai 22 penumpang bas berkenaan juga telah diperiksa dan lima daripadanya telah ditahan mengikut Seksyen 6 (1) (c), Akta Imigresen 1969 kerana tidak mempunyai keterangan diri.

Pihaknya juga telah mengenal pasti pemilik bungkusan dan akan dipanggil untuk diambil keterangan.

 

Advertisement