Anda di sini

Kerja projek ilman di Penampang berjalan lancar

Advertisement

KENINGAU: Presiden Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (MHEANS) Mohamad Alamin berkata, kerja projek Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri (ILMAN) yang terletak di Penampang berjalan lancar.

“Projek yang menelan belanja RM35 juta apabila siap kelak dapat mengangkat mertabat institusi anak negeri terutama untuk memelihara adat istiadat serta perundangan anak negeri di negeri ini,” katanya dalam sidang media selepas lawatannya di Majlis Perhimpunan Adat di Batu Sumpah dan Mesyuarat Majlis Penasihat Mahkamah Anak Negeri (MAN) terdiri ketua daerah dari seluruh negeri Sabah, di sini Selasa lepas.

Katanya, pembinaan ILMAN sedang giat dijalankan dan akan siap mengikut jadual dan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman turut berpuashati kerja pembinaan projek itu ketika melakukan lawatan ke tapak projek itu baru-baru ini.

Beliau turut menekankan agar pembinaan tiga projek bangunan MAN yang menelan belanja RM5 juta setiap satu dapat dipercepatkan.

“Kita telah meminta agar projek bangunan MAN di daerah ini, Penampang dan Kudat dapat dipercepatkan dan diambil tindakan yang seajarnya.

“Pada masa ini, kita sedang menunggu siapnya bangunan mahkamah daerah ini termasuk di Penampang dan Kudat yang pembinaannya tertunda dan apabila siap kelak merupakan satu mercu kebanggaan baharu yang positif bagi imej MAN,” katanya.

Menurut beliau, banyak daerah yang meminta pembinaan bangunan MAN bagaimanapun ia bergantung kepada sumber kewangan dan memberi jaminan kerajaan mempertimbangkan permintaan itu.

Mohamad juga meminta semua ketua daerah di seluruh ini yang turut berhimpun di perkarangan bangunan Urusetia Daerah Keningau untuk melihat Batu Sumpah agar terus memastikan adat negeri ini dilindungi dan dipelihara seperti yang tercatat dalam deklarasi perkataan Batu Sumpah itu.

Melalui taklimat yang diberikan oleh Pegawai Daerah Yusop Osman, beliau berkata memang jelas bahawa kerajaan setuju untuk memindahkan semula Batu Sumpah ke tempat yang asal selain versi asal pada perkataan yang tercatat dalam plak Batu Sumpah itu turut diambil kira oleh kerajaan.

“Kerajaan akan meletakkan semula versi asal Batu Sumpah dari segi perkataan, kandungan dan juga dari segi kedudukan. Walaupun tempat (pemindahan) tidak secara tepat tetapi berdekatan dengan tempat asal itu. Kita diberitahu di bawah kawasan Jabatan Tanah dan Ukur Keningau.

“Batu Sumpah ini adalah sebagai satu simbol keadaan di mana dari segi adat itu memang ditekankan dengan jelas kalau dibaca di Batu Sumpah itu mesti memelihara hak adat rakyat Sabah.

“Ini peranan ketua daerah memastikan adat kita terus terpelihara dan ini memang jaminan kerajaan Malaysia di bawah Perlembagaan Persekutuan pun sudah dinyatakan dengan jelas.

“Itu yang kita mahu kerajaan melihat dengan serius jadi mana-mana hak anak negeri dan keistimewaan kita mesti diberikan perlindungan dan dipelihara,” katanya.

Mohamad berkata, sepertimana yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia hak keistimewaan dan hak rakyat Sabah, Batu Sumpah itulah persetujuan mereka.

Beliau juga meminta semua pihak agar menghormati adat dan hak rakyat negeri ini.

“Saya juga telah meminta ketua daerah memastikan bahawa perjalanan mahkamah mengikut peraturan sepertimana dalam Enekmen Mahkamah Anak Negeri Sabah.

“Saya menekankan di samping nasihat daripada Pejabat Persekutuan Negeri dan Pejabat Kerajaan Negeri, kita kena tingkatkan dengan prosedur, peraturan mahkamah bagi memastikan mahkamah ini di segi adat terus dihormati bukan sahaja oleh rakyat Sabah tetapi orang luar juga perlu hormati adat anak negeri ini.

“Kita tidak dapat mengelakkan mana-mana pihak memperlekehkan soal institusi adat kadang-kadang orang tidak berapa hormat institusi adat tapi kita perlu pelihara dan transformasi supaya ia lebih meyakinkan pada rakyat bahawa kita serius untuk membela nasib anak bangsa,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (JHEANS) Datuk Ahmad Shah Mohd Talib, ahli Majlis Tertinggi MHEANS dan ketua daerah.

Advertisement