Anda di sini

Warga tua Jepun ditemui mati tergantung

Advertisement

MATI MENGEJUT: Mayat mangsa diusung keluar dari bilik sewanya untuk dihantar ke HUS.

Jurutera sebuah syarikat swasta, mangsa sudah bekerja di Sarawak sejak 39 tahun lepas

Oleh Jeremy Lanson //

KUCHING: Seorang lelaki warganegara Jepun ditemui mati dalam keadaan tergantung di bilik sewanya di atas sebuah rumah kedai di Jalan Song Thian Cheok di sini, semalam.

Mangsa yang merupakan seorang jurutera sebuah syarikat swasta dikenali sebagai Misao Kawashima berusia 76 tahun.

Menurut seorang rakan sekerja mangsa, kali terakhir mangsa dilihat adalah pada malam Isnin lepas dan dia tidak keluar dari biliknya selepas itu sehingga mayatnya ditemui semalam.

“Dia sudah bekerja di sini (Sarawak) sejak 39 tahun lepas dan kali terakhir dia menghubungi saya adalah pada hari Sabtu lalu.

“Menurut jirannya, kali terahir dia dilihat adalah dua hari lepas (Isnin) ketika pergi membuang sampah,” kata rakan mangsa.

Difahamkan, mayat mangsa ditemui oleh rakannya itu yang risau selepas mangsa gagal dihubungi.

“Mayatnya ditemui dalam keadaan tergantung di leher menggunakan tali yang diikat pada sebatang besi di dalam bilik sewanya.

“Dia sebelum ini pernah mengadu mengalami sakit-sakit pada badannya dan mungkin disebabkan itu dia bertindak sedemikian,” kata rakannya itu yang turut memberitahu mangsa pernah menghidap kanser.

Beberapa anggota dari balai polis berdekatan tiba di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan sebaik dimaklumkan mengenai insiden tersebut dan siasatan awal dipercayai tidak menemui sebarang unsur jenayah.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk dibedah siasat.

Kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat.

Advertisement