Anda di sini

Transformasi bas SBST bermula di Kuching

Advertisement

MEMENUHI SPESIFIKASI: Manyin membantu memakaikan topi keledar yang lebih selamat kepada penunggang motosikal semalam pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya. Turut kelihatan ADUN Tarat Datuk Roland Sagah Wee Inn (kiri).

Projek perintis Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti dilaksana tahun ini

Oleh Jessica Jawing //

SERIAN: Pelaksanaan projek perintis Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti (SBST) yang menjadikan Kuching sebagai lokasi pertama dipercayai akan bermula pada tahun ini.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata, ia ekoran daripada keputusan muktamad daripada konsortium di negeri ini yang telah bersetuju dengan syarat daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

“Pelaksanaan SBST ini agak lewat sebelum ini disebabkan beberapa syarat yang dinyatakan iaitu mesti menggunakan bas baharu.

“Ini bermakna semua pengusaha iaitu mereka yang menganggotai konsortium ini perlu membeli bas baharu,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Hari Gawai 2015 Peringkat Negeri di Tarat Sentral di sini, semalam.

SBST merupakan konsep baharu bas henti-henti yang berasaskan konsep ‘network planning’ yang diperkenalkan oleh SPAD dan Kuching antara lima ibu negeri yang dipilih untuk pelaksanaan.

Menerusi SBST, rakyat akan menikmati perkhidmatan lebih cekap dan boleh dipercayai.

Manyin dengan itu berharap projek pertama berkenaan akan berhasil dan sekirannya berjaya ia akan merangkumi seluruh kawasan Kuching.

“Di bawah program ini, kerajaan akan menentukan dan menetapkan bilangan dan jenis bas, laluan bas dan kekerapan perkhidmatan.

“Pengendali akan dibayar mengikut jarak perjalanan yang meliputi rangkaian  kontrak di dalam kawasan tertentu yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai kempen jalan raya di Sarawak, beliau yang juga pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) berkata Sarawak masih mencatat peningkatan dari segi indeks kemalangan walaupun statistik kematian di jalan raya menunjukkan penurunan pada tahun ini.

Jelas beliau, dalam tempoh Januari hingga April tahun ini Sarawak mencatat 135 kematian di jalan raya yang menunjukkan penurunan berbanding 427 kematian pada tempoh yang sama tahun lepas.

Namun katanya, dari segi kemalangan Sarawak masih mencatat peningkatan kes dalam perkara berkenaan.

“Di Malaysia kita dianggarkan mencatat 19 kematian setiap hari di jalan raya sementara Sarawak mencatat 1.23 kematian dan ini adalah satu angka yang tidak baik,” tegasnya.

Sehubungan itu Manyin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu berharap sempena perayaan akan datang, pengguna jalan raya termasuk penunggang motosikal dan pejalan kaki lebih berhati-hati.

Ujarnya, ini kerana 65 peratus kemalangan jalan raya berlaku disebabkan faktor kemanusiaan.

Sementara itu kempen itu semalam dilaksanakan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Sarawak dengan kerjasama MKJR dan Lions Club Kuching.

Advertisement