Anda di sini

Taktik licik pembangkang di Sebuyau dikesan

Advertisement

Jabatan Amal Malaysia yang dikesan anjur aktiviti di kawasan Sebuyau dipercayai didalangi oleh PAS

Oleh Sandy Mark Luna //

KUCHING: Jabatan Amal Malaysia yang dikesan menganjurkan beberapa aktiviti di kawasan Sebuyau baru-baru ini dipercayai didalangi oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau Datuk Julaihi Narawi berkata, justeru masyarakat luar bandar tidak harus keliru dengan penggunaan istilah ‘jabatan’ yang lazimnya merujuk kepada organisasi kerajaan.

“Apabila kita mendengar pangkal nama ‘jabatan’, secara automatik kita akan ingat ia adalah sebuah jabatan dalam kerajaan tetapi hakikatnya, Jabatan Amal Malaysia bukan organisasi kerajaan (tetapi pembangkang).

“Mereka menggunakan istilah jabatan itu untuk mengelirukan rakyat dan mengumpan sokongan daripada rakyat sahaja,” katanya ketika berucap menyempurnakan Seminar Pembangunan Sebuyau 2015 di Pejabat Daerah Kecil Sebuyau di sini, baru-baru ini.

Julaihi berkata, jabatan berkenaan diwujudkan oleh parti pembangkang yang berpangkalan di Semenanjung Malaysia.

Kebanyakan ahli-ahlinya datang dari Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Terengganu bagi menyebarkan agenda mereka terutama di kawasan luar bandar.

Dalam pada itu katanya, masyarakat luar bandar terutama pemimpin peringkat akar umbi harus peka dengan keadaan tersebut dan menyelidik siapakah kumpulan berkenaan yang mendakwa sebagai ‘kerajaan’.

Beliau turut menasihat rakyat untuk merujuk pejabat kerajaan berdekatan untuk mendapatkan pengesahan sekiranya terdapat pihak atau individu tidak dikenali memasuki kampung.

“Saya menerima laporan baru-baru ini Jabatan Amal Malaysia secara mudah memasuki beberapa kampung di Sebuyau dan memberi ceramah kepada anak-anak belia.

“Jangan mudah terperdaya dengan helah parti pembangkang ini.

“Pemimpin peringkat akar umbi seperti ketua kampung, penghulu, ketua kaum dan sebagainya, harus mengambil tindakan sewajarnya kerana kita langsung tidak kenal dan mengetahui apa tujuan utama mereka datang,” katanya.

Advertisement