Anda di sini

PR mesti perbaharui, susun semula parti dengan cepat: See

Advertisement

KUCHING: Pakatan Rakyat (PR) mesti memperbaharui, menyegarkan semula dan menyusun semula parti dengan cepat untuk menjadi pejuang bagi masa depan yang lebih baik untuk negara dan semua rakyat Malaysia, kata Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak See Chee How.

Menurutnya, kedudukan sosiopolitik semasa di negara ini telah dicerminkan oleh rakyat yang tidak berpuas hati dan kecewa dengan kos sara hidup yang semakin tinggi serta kecaman dan kritikan yang luar biasa terhadap tadbir urus negara.

“Dengan perkembangan politik semasa dan sebagai penyelesaian politik untuk menyelesaikan kebuntuan dalam pakatan pemerintah BN atau mandat baharu daripada rakyat, kemungkinan bagi pilihan raya tergempar adalah amat tinggi.

“Sama ada ia adalah pilihan raya umum tergempar, rakyat Malaysia akan membuat keputusan mereka mengenai kerajaan sekarang dan harapan mereka bagi masa depan yang lebih baik untuk negara.

“Ia akan memberi peluang keemasan kepada perikatan pembangkang untuk meletakkan diri sebagai alternatif yang baik,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR Sarawak di sini, semalam.

Jelas See yang juga ADUN Batu Lintang, tidak dapat dinafikan wujud perbezaan ideologi antara parti-parti PR yang perlu dikemaskinikan.

Namun, katanya PR harus berpegang kepada penubuhannya berdasarkan agenda dan platform dengan prinsip dan wawasan yang telah dipersetujui iaitu berdasarkan aspirasi rakyat Malaysia yang melangkaui perbezaan politik antara parti.

“Saya memuji ketua pembangkang Parlimen baharu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kerana memaklumkan komitmen dan tugasan segera beliau untuk mengurangkan perbezaan di kalangan parti-parti perikatan PR, menubuhkan kabinet bayangan PR dan mendesak ditubuhkan sebuah jawatankuasa fiskal atau bajet di Parlimen.

“Saya yakin beliau sebagai seorang pemimpin yang jujur dan bertimbang rasa akan dapat menyatukan semua parti dan saya tidak ragu-ragu bahawa kepimpinan PR adalah komited kepada kepentingan rakyat Malaysia yang lebih besar selain untuk bekerjasama bagi kebaikan negara ini,” katanya.

Advertisement