Anda di sini

Perniagaan tukar barang tidak lagi relevan

Advertisement

Kerajaan perlu hentikan atau kenakan peraturan supaya pedagang kemukakan dokumen

KOTA KINABALU: Perdagangan tukar barang tidak lagi relevan sekarang, kata Pengerusi Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), Datuk Roselan Johar Mohamed.

Beliau berkata perdagangan tukar barang adalah perkara yang sudah berlalu dan Malaysia perlu menghentikannya bahkan juga penggunaan perkataan itu supaya orang awam tidak lagi menggunakannya.

Roselan mendakwa pertukaran barang selalunya menimbulkan ketegangan kerana persaingan antara peniaga dan pembeli.

“Keadaan pada hari ini (juga) telah berubah sepenuhnya. Setiap orang tidak boleh memandang ringan soal keselamatan atau hanya memperkatakannya. Apabila nyawa dan harta benda jadi pertaruhan, baharu kira sedar kepentingan keselamatan,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Isnin lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata Polis Diraja Malaysia akan mencadangkan kepada kerajaan negeri Sabah supaya menamatkan perdagangan tukar barang antara masyarakat pantai timur negeri ini dengan penduduk selatan Filipina untuk mengekang kegiatan jenayah, terutama penculikan.

Polis mencadangkan supaya perdagangan tukar barang secara sah atau tidak sah dihentikan kerana ramai yang mengambil kesempatan semasa pertukaran barang.

Roselan berkata perdagangan tukar barang selalunya sah melainkan pedagang melakukan perniagaan yang menyalahi undang-undang dan ia bergantung kepada polis untuk mengenal pasti perniagaan yang haram.

“Kita boleh melupakan untuk menjadi sentimental dan menghentikan perdagangan tukar barang tetapi bagaimana mudah untuk mencari kelompangan. Pedagang mungkin mendakwa mereka berurusan dengan tunai,” katanya.

Menyedari perkara itu, Roselan berkata kerajaan perlu mengenakan peraturan supaya setiap pedagang mengemukakan dokumen pengisytiharan kastam kepada kesemua pedagang dari timur Sabah dan selatan Filipina.

Beliau yang optimistik dengan pendekatan itu berkata dokumen pengisytiharan kastam itu akan menjadi penyelesaian terbaik untuk mengatasi kelompangan dalam sistem tukar barang.

“Bahkan kemasukan bot luar patut dikawal. Tiada lagi laluan percuma dan mereka perlu membayar untuk perkhidmatan yang diberikan oleh kerajaan Malaysia.

Sama ada bot besar atau kecil, selagi mereka datang dari negara luar, mereka perlu diperiksa oleh pegawai kastam, imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) sebelum mereka boleh berlabuh,” katanya.

Dalam perkembangan ber-kaitan, Roselan berkata dalam BIMP-EAGA sendiri, setiap orang dan setiap tempat dalam majlis perniagaan serantau itu adalah saling berhubungan, maka pengagihan dan kitaran wang adalah meluas.

Keutamaan dalam perdagangan ini selalunya dalam bentuk tunai dan pedagang tidak diperlukan untuk bertukar kargo atau barangan, katanya. — Bernama

Advertisement