Anda di sini

Penjual rokok haram punca kesesakan lalu lintas Inanam

Advertisement

INANAM: Pengerusi Tamu Tradisi Inanam Fredolin Totin Bangon menafikan dakwaan oleh Pengerusi JKDB Inanam Datuk Andrew CE Lim kononnya pasar malam Inanam merupakan punca berlakunya kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan.

Beliau yang juga Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Inanam berkata, susulan daripada cadangan pengerusi JKDB Inanam untuk memindahkan pasar malam berkenaan, beliau bersama AJK Tamu Tradisi Inanam telah membuat satu pertemuan dengan Mayor Datuk Abidin Madingkir untuk berbincang serta menjelaskan permasalahan yang berlaku di Pasar Malam Inanam.

Katanya, aktiviti oleh para peniaga Pasar Malam Inanam bukanlah punca utama berlakunya kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan tetapi ia berpunca daripada kegiatan sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menjual rokok haram di tepi jalan.

“Terdapat pembeli rokok memberhentikan serta memperlahankan kenderaan mereka semata-mata untuk membeli rokok daripada PATI yang sentiasa menunggu pelanggan di tepi jalan.

“Perkara ini telah lama berlaku namun tiada tindakan pihak berkuasa untuk menyelesaikan masalah ini terutamanya menangkap penjual rokok haram yang dilihat semakin berleluasa di kawasan ini,” katanya.

Fredolin yang juga Ketua Bahagian PBS Inanam turut menjelaskan selain daripada masalah penjual rokok haram, punca lainnya ialah terdapat lori dan bas pelancong yang berbaris panjang mengisi minyak di Stesen Minyak Petron menyebabkan kelancaran laluan trafik menjadi perlahan.

Katanya, terdapat juga individu meletakkan kenderaan mereka di tepi jalan selepas bulatan untuk menurunkan barang mahupun membeli barang keperluan di kedai yang berdekatan.

Beliau melahirkan rasa kecewa dengan tindakan pengerusi JKDB Inanam yang bertindak sesuka hati membawa masalah itu kepada Mayor tanpa berbincang terlebih dahulu dengan beliau selaku PPM dan juga pengerusi Tamu Tradisi di kawasan Inanam.

Katanya, tindakan pengerusi JKDB Inanam yang mencadangkan kepada Mayor supaya memecat kesemua Jawatankuasa Tamu Tradisi Inanam adalah amat keterlaluan dan disifatkan mempunyai agenda tersembunyi serta berniat jahat untuk mengambil alih kawasan berkenaan daripada Persatuan Tamu Tradisi.

Fredolin berkata, pengerusi JKDB Inanam sepatutnya datang ke pejabat UPPM untuk berbincang terlebih dahulu jika beliau mempunyai niat untuk mengambil alih serta membangunkan kawasan itu dan bukannya bertindak sesuka hati sehinggakan membelakangi beliau selaku pengerusi Tamu Tradisi.

Menyentuh isu kebersihan, Fredolin menyatakan pihaknya sering melawat dan memberi nasihat kepada para peniaga supaya sentiasa menjaga kebersihan di kawasan lot gerai masing-masing bagi mengelakkan timbunan sampah sarap serta bau busuk.

“Pada masa yang sama, pihak pengurusan Jawatankuasa Tamu Tradisi sudah mempunyai perancangan dan akan terus berusaha untuk menaik taraf keperluan asas Tamu Tradisi selaras dengan kehendak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu,” katanya.

 

Advertisement