Anda di sini

Masih berpeluang mohon maaf sebelum disaman

Advertisement

Tinggal dua hari lagi Ng memohon maaf bagi kenyataannya yang memalukan, jejas imej MTCPA

Oleh Clare Cinderella //

MIRI: Presiden Persekutuan Persatuan Tabib Perubatan Tradisional Cina dan Akupuntur Malaysia (FCPAAM) Ng Poh Kok masih mempunyai masa dua hari lagi untuk memohon maaf kepada Persatuan Tabib Perubatan Tradisional Cina Miri (MTCPA) bagi kenyataannya yang telah memalukan dan menjejaskan imej persatuan itu.

Penasihat MTCPA Profesor Dr Harlem Shah memberitahu, pihaknya telah memberi tempoh dua minggu kepada Ng untuk menyatakan permohonan maaf kepada persatuan (MTCPA) dan Presiden Pengasasnya Profesor Datuk Dr Tan Kit Weng terhadap kenyataannya (Ng) yang telah dikeluarkan pada April lalu di Sibu dan disiarkan dalam beberapa akhbar utama.

“Tetapi sehingga kini Ng masih belum membuat sebarang permohonan maaf secara terbuka dan tinggal tiga hari lagi (sehingga semalam) sebelum kami mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau,” tegas Dr Harlem pada sidang media yang diadakan di sini, semalam.

Ng sebelum ini didakwa telah membuat tuduhan tidak tepat terhadap MTCPA dengan menyatakan bahawa MTCPA tidak pernah diluluskan untuk mengeluarkan Sijil Amalan Tahunan (APC) kepada pengamal perubatan dan perubatan tradisional.

Kenyataan Ng itu katanya, amat memalukan dan memberi keaiban kepada  MTCPA dan seterusnya menjejaskan perasaan ahli-ahli persatuan itu.

“Sedangkan dalam surat rasmi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertarikh 5 Mac 2015, KKM dengan jelas menyatakan bahawa ia telah melantik lapan badan pengamal untuk membantu mereka menjadi pengawalseliaan sendiri di bawah Akta Perubatan Tradisional dan Tambahan (T&CM) 2013 dan di bawah seliaan kementerian,” jelasnya.

Ini bermakna katanya, pengamal T&CM seperti MTCPA yang menjadi ahli kepada badan pengamal yang dilantik oleh kementerian, hanya boleh memohon untuk pendaftaran penuh secara terus dengan Majlis T&CM di bawah akta tersebut.

Menjelas lanjut Dr Harlem memberitahu, KKM juga pernah mengeluarkan APC untuk pengamal T&CM sejak penubuhan Bahagian T&CM pada Disember 2004, di mana sebelum itu APC dikeluarkan oleh badan-badan pengamal sebagai salah satu mekanisme untuk memantau pengamal T&CM yang berdaftar dengan mereka.

“Ia adalah majlis yang diberi kuasa untuk mengeluarkan APC bagi pengamal T&CM,” katanya lagi.

Advertisement