Anda di sini

Lorong belakang kawasan penting di Betong tidak diturap

Advertisement

KUCHING: Walaupun jalan-jalan utama telah diturap dengan sibuk sekali di pekan Betong sejak enam bulan lalu, namun amat dikesali apabila lorong belakang di sebuah kawasan penting di kawasan tersebut dibiarkan sahaja dalam keadaan berlubang.

Menurut Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Betong Vernon Aji Kedit, lorong yang tidak bernama itu terletak di belakang sederet rumah kedai di mana terletaknya sebuah bank komersial tunggal di Betong iaitu Hong Leong Bank.

“Ia merupakan jalan yang penting bagi golongan perniagaan di sekitar pekan Betong ini.

“Lori dan van penghantaran perlu menggunakan jalan belakang ini untuk menghantar dan mengambil barang ke premis-premis perniagaan di sana,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR Sarawak di sini, semalam.

Selain itu, Vernon berkata pokok-pokok besar juga didapati tumbuh di tepi lorong tersebut menyebabkan ia menjadi kawasan pembiakan haiwan liar termasuk ular.

“Kedai-kedai bersebelahan lorong ini pernah dimasuki ular berbisa sehingga ke tingkat atas dan bumbung melalui dahan pokok-pokok besar ini.

“Semak yang tebal dan dahan pokok ini perlu dipotong dan dibersihkan bagi memastikan ia tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk, ular tedung, tikus dan haiwan liar lain,” katanya.

Katanya para pekedai di situ juga sudah mengadu kepada pihak berkuasa tentang perkara berkenaan namun tiada tindakan diambil.

Justeru, beliau berharap pihak berkuasa yang relevan akan segera mengambil tindakan sewajarnya.

“Kerajaan asyik memberitahu kita bahawa mereka sudah memperuntukkan berbilion ringgit bagi pembangunan luar bandar dan saya boleh andaikan sebahagian daripadanya telah disalurkan ke Betong.

“Untuk menurap semula lorong belakang ini dan menebas rumput di tepinya, tidak akan memakan kos yang besar,” katanya.

Advertisement