Anda di sini

Beras: KPDNKK larang sebar maklumat palsu

Advertisement

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak mempunyai sebarang kesahihan daripada pihaknya.

Pengarah KPDNKK Sabah Severinus Tukah berkata, perkara itu berkait rapat dengan kes beras palsu yang disebarkan secara meluas di laman sosial termasuk aplikasi WhatsApp dan Facebook.

“Untuk makluman, pemilik Syarikat TKC telah memberikan penjelasan mengenai beras keluaran syarikatnya yang didakwa diimport dari China dan dikatakan mengandungi beras plastik adalah tidak benar sama sekali.

“Laporan polis sudah dibuat mengenai perkara ini dan juga kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini kelmarin.

Beliau berkata, setakat ini belum ada apa-apa tangkapan dibuat berkaitan beras palsu di negeri ini, bagaimanapun pihaknya akan melakukan siasatan secara berterusan dari semasa ke semasa.

Beras plastik yang didakwa menyerupai beras asli diperbuat daripada kentang, ubi keledek dan resin sintetik dipercayai sudah berada di India, Indonesia, Singapura dan Vietnam.

Sementara itu, Severinus berkata sebanyak lima premis diambil tindakan di bawah Akta Timbang dan Sukat (ATS) atas kesalahan tidak menentu-sahkan alat timbang di premis masing-masing.

“Tindakan ini diambil selepas pemeriksaan Makanan Gunaan Islam (MGI) di 18 premis sekitar ibu negeri oleh beberapa agensi termasuk Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Jabatan Kesihatan selama tiga hari iaitu 13, 14 dan 19 Mei lalu.

“Hasil pemeriksaan mendapati masih banyak restoran yang menggunakan penanda harga tidak termasuk harga Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan sudah diberi amaran berkaitan perkara ini,” katanya.

Advertisement