Anda di sini

AWAS lapor polis pemilik akaun FB hina Adenan

Advertisement

SIBU: Angkatan Warisan Anak Sarawak (AWAS) telah membuat satu laporan polis semalam berhubung kenyataan yang dibuat oleh pemilik akaun laman sosial Facebook ‘Melayu Sarawak Sokong DAP’, yang telah menghina pemimpin negeri serta mengeluarkan kata-kata hasutan.

Laporan polis telah dibuat oleh Setiausaha Kehormat AWAS Mohamad Junaidi Sambang di Balai Polis Sungai Merah, kira-kira jam 11.54 pagi semalam.

Menurut Junaidi, beliau terbaca laman Facebook yang menggunakan nama ‘Melayu Sarawak Sokong DAP’ itu kira-kira jam 9.15 malam kelmarin.

“Pemilik akaun Facebook itu juga telah menggunakan gambar Allahyarham Rosli Dhoby, yang secara tidak langsung pemilik Facebook berkenaan telah mencemar perjuangan Allahyarham, keluarganya dan seluruh rakyat Melayu Sarawak dengan isu politik.

“Jika tulus hendak memperjuang hak orang Melayu Sarawak, tunjukkan wajah sebenar dan jangan bermain di sebalik wajah orang lain atau individu yang telah meninggal,” ujarnya kepada pemberita, semalam.

Selain itu, pemilik akaun terbabit juga mengeluarkan kata-kata hasutan yang boleh menimbulkan salah faham, memecah belah perpaduan dan membangkitkan kemarahan antara rakyat Malaysia yang sekian lama terjalin mesra hingga ke hari ini.

“Pemilik Facebook berkenaan juga telah menyentuh kewibawaan, mencabar dan mengaibkan seorang pemimpin iaitu Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dengan kata-kata kesat dan fitnah.

“Jika kata-kata yang dinyatakan itu benar, sertakan dengan bukti yang kukuh demi menyokong kata-kata tersebut. Sesiapapun boleh bercakap itu dan ini tetapi sekadar bercakap sahaja,” katanya.

Junaidi turut mencabar pemilik akaun Facebook berkenaan untuk bersemuka kerana pemilik akaun terbabit seperti orang yang ada mata tetapi buta, ada telinga tetapi pekak dan ada hati tetapi mati.

“Kami Angkatan Warisan Anak Sarawak akan sentiasa menyokong perjuangan Ketua Menteri bagi memajukan negeri Sarawak yang kita cintai,” ujarnya.

Advertisement