Anda di sini

Angkara dendam

Advertisement

Penjual buah nyaris maut ditembak dengan peluru penabur oleh jiran.

Oleh Rosemaria Buma //

MIRI: Seorang lelaki penjual buah nyaris maut setelah ditembak menggunakan senapang patah oleh jirannya yang dipercayai menaruh dendam lama terhadap mangsa dalam satu kejadian di Kampung Bekenu Asli, Sibuti di sini pagi semalam.

Mangsa dikenali sebagai Liew, 34, bernasib baik kerana hanya cedera di bahagian leher, muka dan dada kanan akibat tembakan yang dilepaskan pada jarak 40 meter.

Mangsa telah dikejarkan ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan segera dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Menurut sumber, sekitar jam 10.55 pagi, seorang anggota bertugas di Balai Polis Bekenu menerima panggilan telefon daripada orang awam mengatakan ada orang mengamuk di simpang Bekenu Asli, manakala seorang lelaki lain telah terkena tembakan.

Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan polis dari Bekenu diketuai Sarjan Yusri Abdullah bergegas ke tempat kejadian.

Sebaik tiba, polis menangkap seorang lelaki berusia 37 tahun kerana disyaki terlibat dalam kes itu.

Ketika tangkapan dibuat, polis berjaya merampas selaras senapang patah jenis Steven di dalam sebuah bilik tidur di tingkat atas rumah suspek yang dipercayai digunakan dalam insiden tersebut.

Turut dirampas satu kelongsong peluru penabur berwarna biru jenis Mirage yang dijumpai di atas almari depan rumah suspek untuk dijadikan barang kes.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Gan Tian Kee ketika dihubungi mengesahkan tangkapan ke atas suspek dan rampasan senapang patah tersebut.

Katanya, semasa kejadian, mangsa baharu keluar dari pagar rumah untuk ke pasar sebelum ditembak suspek dari arah kediaman bertentangan rumah mangsa.

“Siasatan awal juga mendapati suspek dipercayai bertindak demikian kerana dendam lama dan mendakwa mangsa sering mengganggu keluarganya dan mencuri barang milik mereka.

“Justeru, kes ini diklasifikasi sebagai cubaan membunuh di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun, jika sabit kesalahan,” katanya.

Kata Gan, polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui punca dan motif sebenar kejadian sama ada suspek mengalami masalah mental atau berada di bawah pengaruh dadah.

Difahamkan, suspek menganggur sejak dua bulan lalu baharu pulang dari Sibu dua hari lepas dan sering mengamuk di rumahnya.

 

Advertisement