Anda di sini

Agensi selesai pengangguran di kalangan graduan kejururawatan akan ditubuh

Advertisement

INI DIA: Dr Jerip (kiri) dan Hafiz (kanan) menunjukkan kertas kerja bagi program ‘nursing the nurses’ untuk menyelesaikan masalah pengangguran yang tinggi di kalangan graduan kejururawatan di negeri ini.

KUCHING: Sebuah agensi kejururawatan bagi menjalankan program ‘nursing the nurses’ akan ditubuhkan di sini untuk menyelesaikan masalah pengangguran yang tinggi di kalangan graduan kejururawatan di negeri ini.

Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr Jerip Susil berkata agensi berkenaan akan berperanan dari segi menambah nilai graduan kejururawatan agar lebih terlatih dan berkemahiran tinggi supaya dapat dibekalkan untuk mengisi kekosongan pekerjaan di hospital dan klinik.

“Di bawah program ‘nursing the nurses’, golongan graduan kejururawatan yang sudah lama menganggur ini akan dilatih semula dalam tempoh enam bulan untuk memastikan mereka dapat dibekalkan kepada hospital dan klinik bagi mengisi kekosongan jururawat sama ada secara sementara atau tetap.

“Dengan itu, baharulah masalah jururawat menganggur serta kekurangan jururawat yang dihadapi hospital dapat diselesaikan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di bangunan Baitul Makmur, Petra Jaya, di sini semalam.

Dalam menjayakan pelaksanaan usaha tersebut, Dr Jerip berkata kementeriannya turut bekerjasama dengan sebuah syarikat perunding swasta dan seorang bekas matron negeri.

Namun, beliau menjelaskan segalanya bergantung kepada kerajaan persekutuan untuk meluluskan dana bagi melaksanakan program tersebut.

“Program ini akan dapat dilaksanakan secepat mungkin sebaik sahaja mendapat pembiayaan daripada kerajaan persekutuan,” katanya.

Justeru, Dr Jerip berkata kertas kerja mengenai program yang dicadangkan itu sudah siap dan akan dikemukakan kepada kerajaan pusat tidak lama lagi.

“Kertas kerja ini meliputi segalanya termasuk kemudahan latihan, fasilitator, pendaftaran pelajar dan lain-lain… jadi sekarang kita hanya memerlukan pembiayaan dana daripada kerajaan persekutuan,” katanya.

Menjelas lanjut mengenai cadangan penubuhan agensi kejururawatan tersebut, Dr Jerip berkata selain jururawat, agensi itu juga akan melaksanakan program serupa bagi mereka yang dilatih dalam bidang lain berkaitan perubatan tetapi menghadapi masalah mencari pekerjaan yang setaraf dengan kelayakan mereka.

“Saya percaya masalah ini tidak hanya dihadapi jururawat terlatih tetapi juga mereka dalam bidang lain dan oleh sebab itu, saya merasakan ia begitu penting bagi kita menubuhkan agensi kejururawatan ini dalam masa terdekat,” katanya.

Turut hadir pada sidang media tersebut ialah perunding program Abdul Hafiz dan bekas matron negeri Fu Choon Kee.

Advertisement