Oleh Reno Benjamin//
SIBU: Sebelum 2006, orang ramai hendak ke utara atau selatan Bumi Kenyalang terpaksa beratur panjang malah kadangkala menunggu lebih sejam menyeberangi Batang Rejang menggunakan feri di Hulu Lanang.
Meskipun menggunakan perkhidmatan dua feri ketika itu, namun orang ramai tidak terlepas menunggu giliran untuk ke seberang seterusnya meneruskan perjalanan ke Kuching, Sri Aman, Sarikei atau ke Bintulu, Miri, Limbang dan Lawas.
Namun, pembinaan Jambatan Lanang pada 2003 oleh Woodville Development Sdn Bhd, anak syarikat Kumpulan Shin Yang telah melengkapi jalan penghubung yang masih hilang seterusnya menghubung ke Lebuh Raya Pan Borneo.
Pecah tanah pembinaan jambatan sepanjang 1.2 kilo-meter dengan kos RM180 juta itu dilakukan Menteri Pembangunan Infrastruktur ketika itu, Dato Sri Wong Soon Koh pada 12 Oktober 2003.
Pembinaan jambatan itu mengambil masa dua tahun setengah untuk disiapkan sebelum dibuka kepada orang ramai pada 11 April 2006.
Bermula saat itu, pengguna dikenakan tol RM0.50 bagi pengguna motosikal, kereta, teksi dan MPV (RM3), van, bas mini, lori pikap, SUV dan trak ringan (RM5), bas (RM8), lori (RM15) dan treler (RM25).
Syarikat membina jambatan diberi tempoh masa 22 tahun untuk mengutip tol.
Bagaimanapun setelah hanya sembilan tahun, kutipan tol di Jambatan Lanang dimansuhkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkuat kuasa 25 Mei ini.
Berita pemansuhan bayaran tol itu merupakan satu berita amat dinanti-nantikan semua penduduk Sarawak khususnya di kawasan tengah yang menggunakan jambatan tersebut setiap hari.
Menurut Penghulu Philip Kayak Brandah, pembinaan Jambatan Lanang dan Jambatan Durin memudahkan penduduk bergerak berban-ding menggunakan perkhidmatan feri sebelum ini.
“Dengan adanya jambatan itu meskipun dikenakan tol, penduduk seberang bandar Sibu lebih mudah bergerak menuju ke bandar Sibu dan ke tempat-tempat lain.
“Jika menggunakan feri dahulu terpaksa beratur panjang atau menunggu lama untuk ke seberang.
“Ini lebih menyusahkan berbanding membayar tol menggunakan jambatan ter-sebut,” katanya.
Dengan pengumuman Ke-tua Menteri memansuhkan tol di Jambatan Lanang pada 29 April lalu, Philip berkata ia memudahkan penduduk bergerak terutama di seberang bandar Sibu.
“Ini memberi banyak manfaat kepada orang ramai menggunakan Jambatan Lanang setiap hari terutama mereka yang bekerja, menghantar anak ke sekolah dan sebagainya.
“Mereka tidak lagi dibebani dengan bayaran tol memandangkan ada yang terpaksa berulang-alik dua tiga kali sehari.
“Ini termasuk penduduk luar bandar yang tidak mempunyai pendapatan tetap,” jelasnya yang berasal dari Rumah Monica, Sungai Durin.
Sehubungan itu, Philip berterima kasih kepada kera-jaan Barisan Nasional (BN) kerana memansuhkan tol serta mendengar rintihan penduduk selama ini yang mahu tol di jambatan dikurangkan atau dimansuhkan.
Beliau berkata pemansuhan tol Jambatan Lanang menunjukkan keprihatinan Ketua Menteri selain usaha-nya memajukan penduduk luar bandar agar jurang kehidupan mereka tidak jauh berbeza dengan penduduk di bandar.
Sementara itu Penghulu Paing Tawi berkata, tindakan kerajaan memansuhkan tol Jambatan Lanang amat tepat pada masanya lebih-lebih lagi ramai menggunakannya menjelang sambutan Hari Gawai Dayak hujung bulan ini.
“Ini sememangnya berita menggembirakan semua penduduk terutama yang tinggal di seberang seperti di Tanjung Latap, Sungai Assan, Kampung Banyok, Pulau Kerto dan sebagainya.
“Kebanyakan penduduk terpaksa menggunakan jambatan itu setiap hari dan tol merupakan satu beban kepada mereka.
“Jadi, apabila tol dimansuh-kan bermula 25 Mei ini ia satu hadiah Hari Gawai kepada mereka dan kepada semua,” katanya.
Menurut Paing, langkah menjadikan jambatan bebas tol dapat menyelesaikan banyak masalah rakyat di kawasan terbabit.