Anda di sini

Lelaki didakwa bunuh tunang yang mayat ditemui di bawah jambatan

Advertisement

SEPANG: Seorang lelaki semalam didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan membunuh tunangnya awal bulan lepas sebelum mayat ditemui orang ramai di dalam belukar di bawah jambatan berhampiran Cyberjaya.

Amal Adil Alias, 26, yang bekerja sendiri, dituduh melakukan kesalahan itu ke atas Rosshida Abdullah, 30, di bawah jambatan Cyberjaya menuju ke Garden Residence, KM 37.2 Lebuhraya LDP Cyberjaya-Puchong, di sini, antara jam 5 pagi hingga 1 tengah hari, pada 6 Mei lepas.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan dan Amal Adil mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Hakim Noor Hafizah Mohd Salim menetapkan 25 Jun ini untuk sebutan bagi mendapatkan laporan bedah siasat.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya B. Uma Devi manakala tertuduh diwakili peguam Azizzul Shariman Mat Yusoff. — Bernama

 

Advertisement