Anda di sini

Ahli kimia perlu cipta ubat tidak beri kesan sampingan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli kimia tempatan digesa untuk mencipta lebih banyak ubat yang tidak memberi kesan sampingan dan berbahaya kepada kesihatan manusia.

Ahli Parlimen Noor Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai) berkata lebih banyak kajian perlu dilakukan golongan profesional itu bagi menghasilkan ubat yang tidak menjejaskan kesihatan seperti yang berada di pasaran ketika ini.

“Ahli kimia tahu apa kesan ubat yang ada sekarang. Mereka perlu main peranan dan berfikir, selain buat kajian serta cipta ubat lain yang tidak memberi kesan sampingan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Ahli Kimia (Pindaan 2015) di Dewan Rakyat di sini semalam.

Pindaan akta antara lain bertujuan memperluas fungsi Institut Kimia Malaysia termasuk memberi latihan kepada anggota dan bakal anggota baharu yang ingin mengamalkan profesion kimia di Malaysia.

Ia juga menyasarkan peningkatan peranan institusi itu dalam pembangunan industri dan profesion kimia di negara ini.

Noor Azmi dalam hujah beliau turut membangkitkan kerisauan mengenai penggunaan bahan kimia dalam bekalan air terawat yang dikhuatiri menimbulkan kesan kepada kesihatan masyarakat.

“Cubalah minum air terawat. Ada yang mengandungi bahan-bahan kimia berlebihan sampai kita boleh pening. Tidak mustahil juga ia mengandungi bahan kimia yang berbahaya,” tambahnya.

Senada dengan Noor Azmi, G.Manivanan (PKR-Kapar) pula meminta ahli kimia memainkan peranan lebih proaktif dalam isu pencemaran sungai dan keracunan makanan.

Dr Che Rosli Che Mat (PAS-Hulu Langat) pula berharap pindaan kepada akta itu mampu meningkatkan peranan dan jumlah ahli kimia yang sedia ada di bawah Institut Kimia Malaysia dalam memberi sumbangan lebih besar bukan sahaja kepada bidang itu tetapi juga untuk kemajuan negara.

Menggulung perbahasan rang undang-undang itu, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata pindaan itu akan memperkukuh peranan dan profesionalisme ahli kimia tempatan.

“Ahli kimia kita sebenarnya telah diiktiraf dan menjadi rujukan di peringkat global atas kepakaran yang dimiliki termasuk bidang forensik dan analisis berkaitan kimia termasuk dalam kes-kes mahkamah,” katanya.

Katanya pindaan akta itu diharap akan meningkatkan bilangan ahli kimia tempatan dan mengubah bidang kimia negara menjadi lebih menarik dan berdaya saing untuk kemajuan akan datang.

Rang Undang-undang itu kemudian diluluskan Dewan Rakyat. — Bernama

 

Advertisement