Anda di sini

Penduduk tidak perlu panik insiden penculikan

Advertisement

Masyarakat perlu sentiasa peka terhadap keadaan sekeliling

SANDAKAN: Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gum Gum Datuk Zakaria Mohd Edris berkata penduduk tidak perlu panik susulan kejadian penculikan di sebuah restoran Khamis lepas kerana pasukan keselamatan telah meningkatkan kawalan keselamatan.

Beliau berkata apa yang penting adalah masyarakat yang tinggal di kawasan pesisir pantai khususnya Ketua Kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu sentiasa peka terhadap apa yang berlaku di sekeliling perkampungan masing-masing.

“Masyarakat perlu terus bekerjasama dengan pasukan keselamatan dengan memberikan maklumat agar sebarang ancaman dapat ditangani,” katanya di sini, semalam.

Zakaria yang juga Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri  berkata anggota pasukan keselamatan khususnya Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) telah mempertingkatkan langkah-langkah keselamatan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Pada Khamis lepas, empat lelaki bersenjata menyerbu Restoran Ocean King di sini dan menculik seorang lelaki dan wanita.

Thien Nyuk Fun, 50, kakak ipar pengurus restoran itu adalah seorang daripada mangsa culik dalam kejadian jam 7.45 malam itu. Seorang lagi mangsa ialah Bernard Then Ted Fen, 39, dari Sarawak yang bekerja sebagai perunding elektrikal di Kemboja.

Zakaria berkata jika ada kehadiran orang luar atau individu yang mencurigakan, mereka perlu segera melaporkan kepada pasukan keselamatan.

Beliau turut mengingatkan pemimpin masyarakat agar tidak melindungi sebarang kegiatan jenayah atau pendatang asing tanpa izin.

Menurutnya kerajaan tidak akan berkompromi jika mereka dikesan melindungi sebarang kegiatan jenayah atau pendatang asing tanpa izin memandangkan perbuatan itu menggugat keamanan dan ketenteraman awam.

Katanya tindakan tegas akan diambil iaitu boleh dilucutkan jawatan dan didakwa di mahkamah. — Bernama

Advertisement