Anda di sini

Pakatan Rakyat wujudkan semula kabinet bayangan

Advertisement

Setiap kementerian akan diwakili oleh Ahli Parlimen PR

ANGKAT SUMPAH: Wan Azizah mengangkat lafaz sumpah ikrar pada Majlis Angkat Sumpah sebagai Ahli Parlimen di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia di Parlimen dekat Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat (PR) akan mewujudkan semula kabinet bayangan pembangkang yang bertujuan memperkukuh sistem ‘check and balance’ (periksa dan imbang).

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata jawatankuasa kabinet bayangan pembangkang untuk setiap kementerian akan diwakili oleh Ahli Parlimen PR.

“Kabinet bayangan ini akan dilaksanakan selepas mengadakan perbincangan dan mendapat persetujuan bersama dari tiga parti komponen PR – PKR, PAS dan DAP,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen di sini, semalam.

Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, kabinet bayangan itu adalah berdasarkan prinsip permuafakatan bersama dan diwujudkan demi keperluan masyarakat berbilang kaum serta agama.

Selepas mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen semalam, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengumumkan Dr Wan Azizah sebagai ketua pembangkang yang baharu menggantikan suaminya yang memegang jawatan itu sebelum ini.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah mendesak kerajaan mewujudkan Jawatankuasa Fiskal dan Bajet Parlimen dengan segera agar proses merangka bajet negara lebih inklusif dan demokratik. Ini juga bertujuan meletakkan ketelusan dan akauntabiliti sebagai asas urus tadbir yang baik, katanya.

Mengenai pelantikannya sebagai ketua pembangkang yang baharu, Dr Wan Azizah berkata beliau berterima kasih atas kepercayaan, keyakinan dan sokongan yang diberikan oleh Ahli Parlimen PR. — Bernama

Advertisement