Anda di sini

Malaysia tidak terima masuk pelarian dengan mudah

Advertisement

Dasar k’jaan tegas, tetapi bantuan kemanusiaan diberikan

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan menerima kemasukan pelarian dengan mudah namun bersedia memberi bantuan kemanusiaan dalam keadaan kecemasan, persidangan Dewan Rakyat diberitahu semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata adalah tidak benar jika dikatakan Malaysia menerima orang luar dengan begitu mudah kerana itu bukan dasar kerajaan.

“Kalau bot pelarian datang ke negara kita, kita tak akan benarkan mereka masuk, itu prinsip utama. Ini keputusan kita, tak terima mereka begitu sahaja kerana mereka pelarian.

“Tapi kalau mereka ada masalah dari segi makanan, kita bagi makanan, kalau tak cukup minyak kita bagi minyak, tapi belayarlah ke perairan antarabangsa dan ke tempat lain,” katanya menjawab soalan tambahan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan (BN-Keningau) mengenai keterbukaan Malaysia menerima kehadiran pelarian.

Beliau menegaskan sekiranya ditahan, setiap pelarian berkenaan akan ditempatkan di kem tahanan sebelum dibicara dan dihantar pulang ke negara asal mereka.

Menjawab soalan asal Datuk Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor), Shahidan berkata kerajaan melihat tiada keperluan untuk mewujudkan zon keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand kerana keadaannya berbeza dengan kawasan keselamatan di pantai timur Sabah.

“Zon keselamatan di Sabah diwujudkan berdasarkan pelbagai isu keselamatan antaranya pencerobohan di Lahad Datu dan keadaan muka bumi persempadanan berlainan, di mana kawalan yang komprehensif dan penggunaan aset secara bersepadu adalah diperlukan sebagaimana yang telah dilakukan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZone),” katanya.

Irmohizam bertanya sejauh mana kerajaan akan mengkaji cadangan untuk mewujudkan zon keselamatan di sepanjang perbatasan Malaysia-Thailand seperti yang telah dilaksanakan di zon timur Sabah. — Bernama

Advertisement