Anda di sini

Inovasi sistem telematik baharu Volvo Trucks, Dynafleet kini ditawarkan di Malaysia

Advertisement

Oleh Adriana Mroon Ambrose //

SERDANG: Volvo Malaysia baru-baru ini telah melancarkan tawaran penyelesaian pengangkutannya kepada semua syarikat di Malaysia menerusi pengenalan sistem pengurusan pengangkutan berasaskan laman web, Dynafleet pada acara Ekspo Bas, Trak & Komponen Antarabangsa Malaysia 2015 (MIBTC’15).

Dynafleet adalah langganan penyelesaian telematik Volvo yang boleh memperkemaskan perancangan dan pelaksanaan tugasan pengangkutan, satu aspek koordinasi yang penting untuk syarikat pengangkutan.

Menerusi sistem Dynafleet yang berasaskan laman web ini, syarikat-syarikat pengangkutan mampu mengukur penggunaan bahan api, mengesan lokasi serta berkomunikasi dengan setiap trak dan pemandu menggunakan satu aplikasi yang mesra pengguna.

Dynafleet menawarkan fleksibiliti kerana ia boleh diakses dengan mudah menggunakan telefon pintar atau tablet. Jadi, pelanggan tidak perlu menggunakan portal berasaskan komputer yang biasanya berpusat di pejabat.

Aplikasi Dynafleet baharu kini boleh didapati dan dimuat turun daripada Apple iTunes dan Google Play. Bagaimanapun, Dynafleet perlu dilanggan untuk membolehkannya berfungsi.

Manfaat terbesar Dynafleet adalah fungsi Driver Coaching di dalam kabin. Para pemandu akan diajar secara langsung tentang cara untuk mengurangkan penggunaan bahan api dan meningkatkan keselamatan. Sekiranya pemandu berjaya menambah baik kecekapan penggunaan bahan api sehingga 3%, ia mampu menjimatkan banyak wang dalam jangka masa panjang.

Pengarah Urusan Volvo Malaysia, Mats Nilsson berkata: “Dynafleet dilancarkan buat pertama kalinya pada tahun 1994. Ia menjadikan Volvo pengeluar trak Eropah pertama yang menawarkan sistem pengurusan pengangkutannya sendiri. Kami mahu menawarkan satu perkhidmatan baru yang mampu mengurangkan kos dan penggunaan bahan api.

“Pada masa yang sama mengoptimumkan penggunaan kenderaan, di samping meningkatkan kecekapan serta produktiviti pemandu. Hasilnya, ia mendapat sambutan yang cukup baik, para pelanggan kami dalam industri logistik dan pengangkutan memang mengakui kecekapan teknologi ini dan impak positif yang diberikannya ke atas operasi perniagaan, alam sekitar dan pembangunan para pemandu masing-masing.

“Hari ini, kami berbangga untuk memperkenalkan Dynafleet. Sejak diperkenalkan, lebih 90,000 unit trak telah dipasang dengan sistem Dynafleet Volvo. Sebagaimana yang dapat anda bayangkan, teknologi yang sudah terbukti ini merupakan kisah kejayaan kami dan kami teruja untuk membawa Dynafleet ke Asia,” katanya.

Volvo kini menawarkan dua pakej promosi kepada para pelanggannya yang berminat untuk melanggan Dynafleet.

Bermula pada 14 Mei 2015, pelanggan layak menerima langganan Dynafleet selama tiga tahun secara percuma apabila menempah Volvo FM/FMX baharu dan melanggan Perjanjian Servis Emas (Gold Service Agreement). Untuk model-model trak yang lain, Volvo menawarkan satu perkakasan retro-fit dengan langganan percuma Dynafleet selama tiga bulan. Tertakluk kepada terma dan syarat.

Pada masa yang sama, Volvo Malaysia turut memperkenalkan patung ujian pelanggaran tertuanya, ‘Clive Alive’ bagi mengukuhkan lagi nilai utamanya iaitu keselamatan.

Para pelanggan boleh merakam gambar dengan Clive Alive dan tag Volvo Trucks di laman Facebook menerusi #VolvoCliveAlive untuk memenangi barangan eksklusif Volvo.

Advertisement