Anda di sini

Dr Wan Azizah, Hasan angkat sumpah Ahli Parlimen baharu

Advertisement

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Hasan Arifin masing-masing mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Rompin yang baharu pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-13 yang bermula semalam.

Majlis berkenaan turut menyaksikan Dr Wan Azizah dilantik sebagai Ketua Pembangkang.

Upacara mengangkat sumpah kedua-dua Ahli Parlimen itu berlangsung di hadapan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Ahli  Parlimen lain sebaik persidangan dewan bermula.

Dr Wan Azizah yang juga Presiden PKR kembali ke Dewan Rakyat selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh pada 7 Mei lepas, mengalahkan Suhaimi Sabudin calon Barisan Nasional (BN), Azman Shah Othman dari Parti Rakyat Malaysia dan Salleh Isahak (Bebas).

Dr Wan Azizah mempertahankan kerusi itu yang sebelum ini disandang Penasihat PKR yang juga suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang hilang kelayakan selepas keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohonnya Anwar melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat.

Sementara itu Hasan mempertahankan kedudukan BN di Rompin apabila menewaskan calon PAS Nazri Ahmad dalam pertandingan satu lawan satu Pilihan Raya Kecil Rompin pada 5 Mei lepas.

Kerusi itu kosong berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.

Mengenai pelantikan Dr Wan Azizah itu, Pandikar berkata maklum balas yang diterimanya menunjukkan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mendapat sokongan Ahli Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat.

“Saya berpuas hati dengan maklum balas bahawa Datuk Seri Dr Wan Azizah telah sebulat suara mendapat sokongan Ahli Parlimen pembangkang untuk dilantik sebagai ketua pembangkang.

“Ahli Parlimen Permatang Pauh selamat kembali ke Parlimen dan selamat bertugas kembali sebagai ketua pembangkang,” kata Pandikar.

Dr Wan Azizah yang memenangi kerusi Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum Ke-12, telah mendapat sokongan Pakatan Rakyat (PR) untuk memimpin pembangkang dalam Dewan Rakyat dari Mac hingga Julai 2008.

Beliau mengosongkan kerusi Permatang Pauh pada Julai 2008 selepas suaminya yang juga Ketua Umum PR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan hasratnya kembali aktif dalam politik.

Terdahulu, sesi persidangan dimulakan ceria apabila kebanyakan Ahli Parlimen menepuk meja sebaik Pandikar, yang sebelum ini heboh dikatakan telah meletakkan jawatan, melangkah masuk ke dewan persidangan.

Perkara itu bagaimanapun dinafikan Pandikar yang menegaskan tidak akan meletakkan jawatan dan akan mempengerusikan sidang Dewan Rakyat yang bermula semalam.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu forum di Ipoh pada Sabtu, dilaporkan berkata Pandikar, 59, telah meletakkan jawatan sebagai Speaker Dewan Rakyat. — Bernama

Advertisement