Anda di sini

Hantar aset segera: Musa

Advertisement

SANDAKAN: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman mahu kerajaan persekutuan mempercepatkan penghantaran aset-aset yang diperlukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) bagi menghentikan insiden penculikan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan negeri menegaskan Sabah tidak boleh terus dibelenggu dengan kes penculikan.

“Saya (malam kelmarin) telah menghubungi Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak dan telah meminta supaya aset-aset sesuai diperlukan oleh ESSCom diberikan segera.

“Ini penting antaranya meminta Helikopter N3 (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia-APMM) yang ada di Kuala Lumpur dihantar ke Sabah dan juga aset yang sesuai patut diberikan ke Sabah,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan mesyuarat dengan agensi keselamatan di Sandakan di sini, semalam.

Ia berikutan insiden empat lelaki bersenjata menculik seorang wanita dan seorang lelaki dari Restoran Ocean King, restoran makanan laut, di sini, malam kelmarin.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Komander ESSCom Datuk Abdul Rashid Harun, Ketua Penguat Kuasa APMM Daerah Maritim 17 Kapt Maritim A. Razak Abd Rahman dan wakil Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia KD Sri Sandakan Lt Komander Mohd Lokman Nordin.

Musa berkata aset tersebut amat diperlukan dalam memastikan anggota pasukan keselamatan dapat menjalankan tugas seperti yang diharapkan oleh rakyat dan kerajaan.

Pada masa sama, katanya orang ramai diminta terus memberi maklumat tepat kepada pasukan keselamatan dalam menangani insiden penculikan ini.

Katanya, anggota pasukan keselamatan juga diminta mengambil tindakan segera menangani insiden penculikan.

“Inilah saya rasa penting dan mahu semua pihak bekerjasama menangani masalah ini,” kata Musa. — Bernama

 

Advertisement