Anda di sini

Empat lelaki bersenjata culik seorang wanita, lelaki di Sandakan

Advertisement

SANDAKAN: Empat lelaki bersenjata menculik seorang wanita dan seorang lelaki dari Restoran Ocean King, sebuah restoran makanan laut, di sini, Khamis malam.

Mangsa wanita dalam kejadian jam 7.26 malam berkenaan dikenali sebagai Thien Nyuk Fun, 50, dari Taman Mawar, Jalan Sibuga, Sandakan manakala mangsa lelaki Bernard Then, 39, seorang konsultan dari Kuala Lumpur.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata empat lelaki dipercayai menggunakan senjata panjang dan pistol telah memasuki restoran tersebut dan menarik mangsa secara paksa sebelum melarikan mangsa dengan menaiki bot laju.

Katanya, ketika kejadian kedua-dua mangsa sedang menjamu selera di restoran atas air itu di Jalan Bokara, Pasir Putih, kira-kira tiga kilometer dari Sandakan.

“Seorang lelaki memakai seluar celoreng baju-T biru manakala tiga memakai baju dan seluar celoreng tanpa memakai penutup muka. Salah seorang suspek memakai peluru berantai yang disandang di bahu,” kata Jalaluddin dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, Jalaluddin berkata jenis bot laju yang digunakan suspek masih belum dikenal pasti.

Katanya, kesemua suspek datang dari arah tangga sisi belakang restoran dan terus menuju ke arah mangsa yang duduk di meja berlainan sebelum kedua-duanya ditarik secara paksa untuk mengikut kumpulan lelaki itu menaiki bot.

Jalaluddin berkata kesemua saksi dan pekerja di restoran berkenaan telah dikumpulkan untuk diambil keterangan manakala pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), diketuai Komandernya Datuk Abdul Rashid Harun kini berada di tempat kejadian bersama Ketua Polis Daerah Sandakan.

“Pihak Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah dikerahkan membuat operasi memburu dan menyekat laluan laut sehingga ke sempadan.

“Helikopter APMM dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga diarah memintas suspek-suspek yang menggunakan bot laju tersebut pada malam ini juga,” katanya. – BERNAMA

Advertisement